Anda di sini

Sabah negeri pertama lancar

Advertisement

Oleh Yap Siong Han //

Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang

MUSA melekatkan Jalur Gemilang pada salah sebuah kenderaan awam sambil diperhatikan Yahya.

KOTA KINABALU: Sabah adalah negeri pertama yang melancarkan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, ia adalah satu langkah baik bagi semua masyarakat menunjukkan kesetiaan serta semangat cintakan negara.

“Kerajaan juga berharap melalui pelancaran ini, ia dapat menyatupadukan lagi suku kaum yang ada di Sabah yang mana kita terkenal dengan kepelbagaian kaum,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang, di sini kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kempen itu seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh masyarakat di Sabah untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasih kepada negara yang telah menikmati kemerdekaan sejak 53 tahun lalu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini katanya, merealisasikan pembangunan yang disusun atau dirancang memerlukan sokongan padu dan kerjasama jitu dari semua pihak termasuklah daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan korporat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat pada keseluruhannya.

“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi serta perpaduan rakyat di semua peringkat adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah.

“Bulan Kemerdekaan tahun ini adalah dalam suasana Hari Raya dan wajar disambut penuh kesyukuran kerana kita hidup di negara yang aman dan harmoni walaupun terdiri daripada rakyat berbilang kaum, etnik dan agama, sesuai dengan semangat 1Malaysia,” katanya.

Musa menekankan bahawa kemerdekaan yang dikecapi bukan mudah untuk dicapai dan semua masyarakat digesa untuk terus menyuburkan nilai-nilai murni, meningkatkan semangat perpaduan dan menjaga nikmat kemerdekaan bagi manfaat bersama serta generasi akan datang.

Menurutnya, sebagai warganegara yang prihatin, kerajaan tidak perlu kerap menganjurkan program seperti itu kerana rakyat sepatutnya mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan rela hati.

Musa berharap sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini dapat membawa semua masyarakat ke tahap  yang lebih baik dari aspek kewajipan, disiplin, produktiviti dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata jawatankuasa induk sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat negeri telah menetapkan tarikh pelancaran yang lebih awal daripada peringkat kebangsaan.

Katanya, ia bagi membolehkan rakyat jelata di seluruh negeri membuat persiapan yang secukupnya bagi sambutan kemerdekaan pada kali ini.

“Jawatankuasa-jawatankuasa kecil pelaksana acara telah diarahkan untuk mempelbagaikan lagi acara dalam merayakan sambutan ini.

“Ia dilakukan dengan harapan agar bukan sahaja sambutan lebih meriah malahan lebih menyeluruh dan melibatkan sebilangan penduduk besar di Sabah,” katanya.

Advertisement