Anda di sini

‘Perang’ pintu gerbang ceriakan Aidilfitri di Debak

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

SAMBUTAN Aidilfitri 1435H di pekan Debak dalam bahagian Betong bertambah meriah dengan adanya Pertandingan Pintu Gerbang Aidilfitri 2014 bertemakan ‘Kemeriahan Dan Keharmonian Ke Arah Perpaduan Sejagat’.

Penghulu Kampung Melayu Debak Abang Kiprawi Abang Rukali berkata, tujuan utama penganjuran pertandingan itu adalah untuk mewujudkan semangat perpaduan di kalangan umat Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, pertandingan melibatkan lapan JKKK iaitu Kampung Bungey Hilir dan Hulu, Kampung Lalang Hilir dan Hulu, Kampung Babu Hilir dan Hulu serta Kampung Debak Laut Hilir dan Hulu.

“Dengan adanya pertandingan ini, pihak penganjur berharap semangat sambutan Hari Raya dapat dirasai sekali gus memupuk semangat kerjasama antara penduduk dalam membina pintu gerbang di kampung masing-masing.

“Malah keistimewaan dan kelebihan pertandingan ini adalah merupakan salah satu cara untuk memelihara, mengekal dan menghidupkan tradisi lama masyarakat di setiap kampung supaya ia tidak pupus dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita semasa sesi penilaian pada malam raya ketiga baru-baru ini.

Dianjurkan secara tahunan sejak dua tahun lalu, pertandingan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan positif daripada penduduk, kata beliau.

Tambahnya, kemeriahan Aidilfitri pastinya tidak akan bermakna dan meriah jika pertandingan seperti itu tidak diadakan.

“Inilah kelebihannya kerana ia mampu melepaskan kerinduan dan menyemarakkan semangat anak-anak kampung yang berada di perantauan untuk pulang ke desa menyambut kemeriahan Hari Raya sama seperti tema pertandingan tahun ini,” ujarnya.

Jelas Abang Kiprawi, pertandingan merupakan cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam.

Bercerita mengenai pertandingan tersebut, setiap JKKK bebas menghias pintu gerbang masing-masing menggunakan pelbagai material gabungan tradisional dan moden.

Malah pemarkahan bagi pertandingan ini turut dinilai berdasarkan kriteria seperti reka bentuk, seni bina, inovasi, kekemasan, perhiasan dan gubahan.

“Keputusan pertandingan yang dinilai dua kali iaitu pada malam raya pertama dan malam raya ketiga itu akan diumumkan ketika Pertandingan Karaoke Aidilfitri Debak diadakan di Dewan Lakid dekat sini nanti,” tambahnya.

Advertisement