Anda di sini

Penduduk Sadong Jaya terus dibelenggu dengan krisis air

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di kawasan Sadong Jaya terus dibelenggu masalah bekalan air ekoran musim kemarau yang berlarutan sejak Julai lalu.

Tinjauan Utusan Borneo di Sadong Jaya mendapati kebanyakan penduduk terpaksa pergi ke pekan kecil Asajaya yang terletak lebih 20 kilometer untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian.

Menurut Zakaria Borhan, 35, penduduk dari Kampung Semera, Sadong Jaya, beliau terpaksa berulang-alik dari kampungnya ke pekan kecil Asajaya untuk mendapatkan air bersih.

“Sudah seminggu lebih tidak ada air, tambahan pula Hari Raya kami banyak menggunakan air…harap kerajaan terus tampil membantu penduduk yang terjejas akibat kemarau ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Pada masa sama, Zakaria berharap kerajaan menerusi agensi terlibat mencari jalan penyelesaian untuk jangka pendek supaya masalah yang dialami penduduk di situ dapat diatasi.

“Kami sekarang hanya bergantung kepada bekalan air bersih di pekan kecil Asajaya, namun kami terpaksa berulang-alik setiap hari.

“Syukur ada hujan turun, kalau tidak sukarlah untuk kami melakukan aktiviti harian seperti mandi dan mencuci pakaian dan sebagainya,” tambahnya.

Menceritakan lagi masalah itu, dia memberitahu bahawa kampung tersebut mula terjejas bekalan air pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

“Dalam sibuk orang meraikan Hari Raya, kami di sini sibuk mengangkut air,” keluhnya.

Manakala Nawi Materang, 68, juga dari Kampung Semera berkata, di kampung itu sahaja terdapat lebih 1,000 rumah terjejas teruk akibat ketiadaan bekalan air.

“Lori JKR yang menghantar air hanya datang sekali sahaja di kampung ini, selepas itu tidak ada lagi kerana memberi keutamaan kepada rumah yang mengadakan kenduri kahwin dan sebagainya,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agensi kerajaan menerusi JKR memperbanyakkan penghantaran air ke kampung itu dan kampung di Sadong Jaya.

Advertisement