Anda di sini

Pembenihan awan mula dilaksana esok

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

Langkah segera tangani masalah kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas, kering

Penduduk Sadong Jaya dibelenggu masalah bekalan air ekoran musim kemarau sejak Julai.

KUCHING: Kerja-kerja pembenihan awan akan mula dilaksanakan 6 Ogos ini (esok) sebagai langkah segera kerajaan menangani masalah kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas dan kering.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara itu telah dipersetujui pada mesyuarat khas bersama semua agensi-agensi yang berkaitan, semalam.

Menurut Awang Tengah, kerja-kerja pembenihan awan  akan dilaksanakan di semua kawasan terjejas di seluruh Sarawak terutama di kawasan tadahan air.

“Kami telah mengarahkan pembenihan awan perlu dilakukan segera yang mungkin dan mereka yang berkenaan kini dalam perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memulakan kerja-kerja pembenihan awan.

“Oleh kerana kejayaan pembenihan awan bergantung kepada keadaan awan maka adalah lebih baik untuk ia dilaksanakan ketika ini memandangkan keadaan awan agak tebal,” katanya.

Tambah Awang Tengah, susulan hujan beberapa minggu ini di Kuching, paras air di Sungai Sarawak Kiri di tambak Batu Kitang telah meningkat ke paras melebihi empangan.

Pengeluaran air katanya, kini kembali normal dan pengagihan air ke semua kawasan kembali pulih.

Bagi kawasan-kawasan di Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang pula, tidak berlaku masalah bekalan air ketika ini memandangkan air mentah adalah mencukupi.

“Meskipun bekalan air di Kuching kembali normal susulan hujan beberapa hari ini tetapi ia berkemungkinan hanya bersifat sementara.

“Oleh itu, kita perlu memastikan penghantaran air ke kawasan terjejas bukan sahaja kepada kampung-kampung dan rumah panjang yang dapat dihubungi dengan jalan tetapi juga penempatan yang tidak mempunyai akses jalan.

“Dan saya mahu memastikan bahawa penghantaran air bukan sahaja air botol, harus dihantar menggunakan tangki air termasuk menggunakan bot.

“Bagi jabatan yang tidak mempunyai fasiliti yang mencukupi mereka boleh bekerja dengan sektor swasta dengan kerjasama Pejabat Residen dan Daerah, Jabatan Kebajikan dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Pada sidang media itu semalam, Awang Tengah turut menasihati pengguna supaya menggunakan air secara berhemah.

Ini kerana katanya, meskipun bekalan air kembali normal di beberapa tempat terutama di Kuching namun Jabatan Kaji Cuaca telah meramalkan cuaca panas dan kering akan berterusan sehingga awal September.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung di Wisma Sumber Alam itu ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Advertisement