Anda di sini

Pakar saran warga emas lebih peka terhadap pencegahan demam denggi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas perlu sentiasa berwaspada supaya tidak digigit nyamuk yang membawa virus demam denggi kerana daya tahan badan mereka lebih rendah berbanding golongan dewasa.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Rose Nani Mudin berkata golongan warga emas lebih berisiko tinggi untuk menghidap demam denggi berdarah jika digigit oleh nyamuk aedes.

“Jika terkena demam denggi berdarah, mereka akan berhadapan dengan risiko kematian yang tinggi dan demam denggi biasa pula perlu mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh berbanding golongan dewasa yang mungkin hanya mengambil masa lima hingga sembilan hari,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Namun ia bergantung kepada keadaan kesihatan setiap individu kerana ada dalam kalangan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat masih mengekalkan daya tahan yang tinggi, katanya.

Katanya bagaimanapun, golongan ini adalah disarankan supaya lebih peka terhadap langkah pencegahan demam denggi, sama ada di rumah atau di mana-mana sahaja.

“Bagi warga emas yang mempunyai pergerakan terbatas dan sentiasa berada di rumah, mereka dinasihatkan supaya memasang kelambu sebelum tidur dan menggunakan bahan penghalau nyamuk yang boleh ditampal di pakaian atau permukaan kulit.

“Jika ingin keluar dari rumah, pastikan memakai pakaian yang boleh menutupi permukaan kulit seperti baju berlengan panjang dan seluar panjang supaya mengelakkan daripada digigit nyamuk,” katanya.

Dr Rose berkata selain itu, persekitaran rumah juga haruslah sentiasa bersih dan bebas daripada takungan air kerana nyamuk aedes biasanya akan membiak di kawasan itu.

“Hapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes dengan meletakkan ubat jentik-jentik di kawasan berair dan dapatkan perkhidmatan pengawasapan daripada pihak KKM untuk menghapuskan nyamuk di persekitaran rumah,” katanya.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lalu, 44,518 kes denggi dilaporkan, meningkat 246 peratus atau 31,660 kes berbanding tempoh yang sama pada 2013 iaitu 12,858 kes.

Dalam tempoh sama, 85 kematian dilaporkan di seluruh negara berbanding hanya 27 kematian bagi tempoh yang sama pada 2013, peningkatan 215 peratus atau 58 kematian. — Bernama

Advertisement