Anda di sini

Najib ucapkan syabas kepada skuad badminton menerusi laman Twitternya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki dan wanita skuad badminton negara yang menyumbang emas kelima dan keenam Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland.

“Lagi dua emas! Syabas pasukan badminton beregu lelaki dan wanita Malaysia #Glasgow2014,” kata Najib dalam catatan laman Twitter beliau.

Pingat emas kelima Malaysia hadir menerusi beregu wanita Vivian Khoo-Woon Khe Wei yang mengetepikan Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dari India dengan keputusan 21-17, 23-21.

Beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem pula mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel dengan menewaskan wakil Singapura Danny Chrisnanta- Chayut Triyachart, 21-12, 12-21, 21-15.

Skuad badminton negara, tanpa kehadiran pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei wajar muncul skuad terbaik kontinjen negara pada Sukan Komanwel, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

“Skuad badminton negara wajar diberi pujian kerana mereka berjaya mencapai sasaran tiga pingat emas di Glasgow. Perjuangan untuk mendapatkan pingat emas yang sukar.

“Pasukan beregu wanita terpaksa bersaing dengan beregu India yang lebih konsisten dalam persaingan. Bermula dengan saingan berpasukan campuran mereka mungkin tidak berpeluang mara ke perlawanan akhir jika tewas kepada Singapura dalam separuh akhir,” katanya.

Namun, beliau kecewa dengan prestasi pemain-pemain senior yang gagal menunjukkan prestasi terbaik di Glasgow.

“Ketiadaan Chong Wei memang dirasai dan banyak pengaruh di sini. Saya amat kecewa dengan prestasi beberapa pemain senior. Saya ada menghantar SMS kepada Tengku (Tan Sri) Mahaleel (Tengku Ariff – presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM)) untuk mengatasi masalah ini dengan segera sebelum ke Incheon, Korea Selatan (Sukan Asia September ini).

“Saya akan duduk sekali dalam mesyuarat JKK badminton dan akan tengok apakah perancangan BAM selepas ini. Saya pun nak melihat aspek kejurulatihan secara menyeluruh,” katanya.

Selain acara badminton, Zolkples melihat acara sukan terjun dan angkat berat berjaya mencapai sasaran masing- masing.

Selepas 11 hari bersaing pada edisi ke-20 Sukan Komanwel, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dengan meraih enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Bagaimanapun, pencapaian kali ini tidak berjaya mencapai sasaran tujuh pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan.

“Dalam sesetengah acara yang dipertandingkan di sini, standard pertandingan adalah begitu tinggi dan beberapa faktor tertentu seperti yang saya pernah katakan sebelum ini,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan beberapa acara sukan yang gagal menyerlah di Sukan Komanwel Glasgow seperti boling padang dan menembak.

“Kita mempunyai peluang untuk meraih pingat emas dalam kedua-dua jenis sukan ini. Kita menyediakan peruntukan yang besar untuk persediaan mereka.

“Sepatutnya mereka mampu menghasilkan pingat emas, khususnya daripada kalangan atlet senior yang berpengalaman bersaing dalam banyak temasya sukan besar,” katanya. — Bernama

Advertisement