Anda di sini

Motosikal lesap selepas 15 minit ditinggalkan

Advertisement

LIMBANG: Tindakan seorang lelaki hanya menutup kunci ditinggalkan di motosikalnya dengan surat khabar untuk membeli barang di Limbang Plaza Jumaat lalu mengundang padah apabila motosikal itu lesap tidak sampai 15 minit.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 46 tahun, berputih mata sebaik menyedari motosikal masih berkunci yang ditinggalkan hilang sekelip mata.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata kesilapan menutup kunci ditinggalkan di motosikal dengan surat khabar hanya memakan diri apabila motosikal terbabit dilarikan pencuri.

“Mangsa tidak menyangka motosikal ditinggalkan tidak sampai 15 minit dilarikan pencuri ketika dia hanya membeli barang sambil menunggu isterinya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, akibat kecuaian sendiri, mangsa kerugian lebih RM2,000 dan membuat laporan polis pada Sabtu lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 (1) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Bukhori turut menasihati orang ramai agar lebih peka dengan aspek keselamatan harta benda masing-masing dengan tidak meninggalkan kunci di kenderaan ketika keluar membeli barang.

“Kita sudah kerap kali mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tidak meninggalkan kunci kenderaan ketika membeli-belah,” katanya.

Mengulas lanjut kes tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan gelagat mangsa meninggalkan kunci motosikal diperhatikan lebih awal oleh penjenayah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Bukhori memberitahu bahawa tiada kes pecah rumah dilaporkan berlaku sepanjang Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Advertisement