Anda di sini

Merompak: Dua lelaki, seorang wanita dicekup

Advertisement

SIBU: Dua remaja lelaki berbangsa Melanau dan seorang wanita bertudung dicekup polis di sebuah rumah di Lorong 7, Jalan Tiong Hua petang semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan satu kes rompak di Jalan Hardin, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi semalam, seorang lelaki mendakwa dirinya kerugian RM15,000 selepas dirompak sekumpulan tiga perompak.

Pengadu berusia 35 tahun berbangsa Melanau datang dari Bintulu pada jam 11 pagi, 3 Ogos lalu bermalam di sebuah hotel di Jalan Mission di sini.

Dalam laporannya pengadu menyatakan bahawa dia dirompak semasa sedang berjalan kaki di Jalan Hardin menuju ke Pelita Mas Laut untuk mendaftar kursus pelaut di Jalan Pedada, 10 minit selepas keluar dari hotel berkenaan semalam.

Menurutnya, seorang lelaki keluar dari sebuah kereta Honda Civic tiba-tiba berhenti di sebelah pengadu dan mengacukan parang di leher kirinya.

Pengadu kemudiannya dipaksa masuk ke dalam kereta berkenaan dan terus beredar dari situ.

Semasa berada di dalam kereta, pengadu berkata dia hanya mengecam wajah seorang wanita yang berada di tempat duduk belakang tetapi gagal mengecam wajah lelaki yang menjadi pemandu dan lelaki yang mengacukan parang tersebut.

Pengadu memberitahu, dia diarah mengeluarkan semua harta benda termasuk wang tunai berjumlah RM9,500, resit kad pengenalan sementara, kad bank, sebuah telefon pintar Asus, sebuah telefon Nokia dan sebuah komputer riba jenama Sony.

Pengadu memberitahu, dia dibawa ke sebuah kawasan tanah perkuburan Cina yang tidak dapat dikenal pasti lokasinya sebelum ditolak keluar di situ.

Dia kemudiannya mendakwa berjumpa dengan seorang lelaki Cina yang menghantarnya ke Balai Polis Sentral Sibu untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, polis dijangka membawa pengadu melakukan pengecaman terhadap ketiga-tiga suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Advertisement