Anda di sini

Lanjutan tempoh perintah berkurung keputusan baik

Oleh Yap Siong Han //

KOTA KINABALU: Keputusan pihak Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) melanjutkan tempoh perintah berkurung di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) adalah satu tindakan yang amat baik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, keputusan yang dibuat itu amat baik dari segi keselamatan rakyat Sabah.

“Kita bukan kata berpuas hati tetapi sentiasa berwaspada terhadap perkara yang dilakukan, sudah tentu tindakan yang diambil ini menyedarkan pihak-pihak tertentu dan kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya sekiranya mereka cuba menceroboh.

“Kita melakukan perkara ini mengikut keadaan masa…sekiranya sudah aman dan tenteram serta tidak wujud sebarang permasalahan, maka kita akan longgarkan tetapi setakat ini perintah berkurung akan diteruskan demi keselamatan rakyat dan Sabah keseluruhannya,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang, di sini kelmarin.

Beliau berkata, dengan adanya perintah berkurung itu, pihak keselamatan boleh menyekat anasir-anasir yang tidak diingini datang atau menceroboh di perairan Sabah.

Oleh itu katanya, lanjutan tempoh perintah berkurung itu diperlukan bagi memastikan keselamatan dan pencerobohan tidak berlaku di Sabah, dan pasukan keselamatan sentiasa memantau perairan Sabah.

“Bagi nelayan yang ingin keluar menangkap ikan pula, kita mempunyai peraturan-peraturan tertentu sepanjang tempoh perintah berkurung yang menasihati mereka tidak memasuki tempat-tempat tertentu selepas 3 batu nautika dari daratan.

“Pantauan akan dilakukan dan kita akan lihat apa yang terbaik untuk nelayan kita,” katanya.

Musa berkata bantuan kewangan kepada para nelayan akan dipertimbangkan dan satu kajian akan dibuat secara teliti yang mana Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan memikirkan perkara yang terbaik kepada para nelayan yang mendapat kesan daripada perintah berkurung itu.