KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam menangani aktiviti penyeludupan senjata api ke negeri ini di setiap pintu sempadan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, untuk itu pemerkasaan kawalan keselamatan di setiap pintu sempadan diperkukuhkan agar masalah itu dapat ditangani dengan berkesan.
Namun menurutnya, kes melibatkan penyeludupan senjata api ke negeri ini tidak serius dan masih terkawal.
“Bagaimanapun, kami sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti ini dan kami telah mengadakan mesyuarat bersama pihak polis dan Jabatan Imigresen tiga minggu lalu untuk menangani masalah ini,” katanya.
Wan Junaidi menambah, beliau akan mengesyorkan cadangan selepas mendengar pendapat dan maklum balas daripada jabatan berkaitan dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan akan merekrut lebih ramai petugas keselamatan bagi memperkasakan kawalan keselamatan di Sabah, beliau berkata, kerajaan sedang melihat beberapa inisiatif terhadap sumber tenaga untuk memastikannya.
“Inisiatif itu melibatkan kos dan proses, jadi ia memerlukan tempoh untuk melaksanakannya,” ujarnya.