SARATOK: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengagihkan air minuman bernilai RM240,949.70 kepada 22,177 mangsa kemarau di tiga kawasan dalam daerah Saratok dari Januari hingga kini.
Pembantu Pembangunan Masyarakat Daerah Saratok Sukarni Abu Kassim memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak RM44,144 peruntukan kepada kawasan Saratok, RM20,823.70 (Roban) dan RM176,012 (Kabong).
Jelasnya, kos tersebut merangkumi bantuan kepada 4,619 keluarga melalui 64 kes yang diterima oleh jabatan itu.
“Sebanyak 15 kes diterima bagi kawasan Saratok melibatkan 956 keluarga dengan 6,000 mangsa, 14 dari Roban (493 keluarga, 2,628 mangsa) dan 35 bagi Kabong (3,167 keluarga, 13,549 mangsa).
“Untuk itu, kami telah mengagihkan bantuan segera air mineral berjumlah 20,412 kotak iaitu masing-masing 3,836 kotak, 1,384 kotak dan 15,192 kotak di tiga kawasan tersebut.
“Bagi pengagihan air terawat melalui pihak JKR pula, sejumlah 59,220 liter telah diagihkan iaitu 5,812 liter di Saratok, 39,233 liter (Roban) dan 14,175 liter (Kabong),” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.
Menurutnya, bagi kawasan yang tidak mempunyai sistem perhubungan jalan raya, pihak JKM mengagihkan bantuan berupa air mineral dalam kotak manakala bagi kawasan yang dapat dihubungi dengan jalan raya, air diagih menggunakan lori tangki air JKR.
“Kami menyeru masyarakat yang mengalami masalah air, terutama ketua kaum, ketua kampung, tuai rumah atau pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar mengemukakan masalah mereka kepada kami.
“Apa yang mereka perlu bawa adalah butiran lengkap mengenai penduduk kampung, khususnya penduduk yang terjejas,” jelasnya.
Mengenai situasi di daerah itu kini, JKM telah menggerakkan usaha untuk menghantar bekalan air terawat dan mineral ke lokasi terbabit.
“Kami telah menggerakkan usaha terutama sejak sebulan lalu apabila berlakunya krisis air paling kritikal di tiga kawasan berkenaan.
“Jumaat lalu kami meneruskan usaha menghantar bantuan di Kabong dan Roban, diikuti pada hari Sabtu di Sessang, Alit dan Empelan dan kelmarin (Ahad) kami telah mengagihkan bantuan air di Nyabor dan Gerigat.
“Dengan kerjasama JKR, kami akan berusaha menghantar bekalan air ke lokasi terbabit dan kami berharap penduduk dapat bersabar dan memberi kerjasama kepada pihak kami bagi memudahkan pengagihan bantuan,” ujarnya lagi.