Anda di sini

Abdul Khalid cabar PKR lapor pihak berkuasa

Advertisement

Beliau sedia disiasat jika terdapat bukti salah laku dan integritinya sebagai menteri besar

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang bukti salah laku dan integritinya sebagai menteri besar.

Abdul Khalid dalam kenyataan di Facebook beliau semalam  berkata jika Saifuddin yakin berada di pihak benar, beliau dan rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan dengan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis dan Bank Negara Malaysia sekiranya ada bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu.

“Saya memandang serius tuduhan salah laku yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution. Saya menafikan dakwaan ini kerana perkara tersebut tidak benar sama sekali,” katanya.

Abdul Khalid berkata kegagalan Saifuddin dan rakan dalam PKR untuk berbuat demikian akan mengundang spekulasi bahawa tuduhan-tuduhan itu bermotifkan politik dan berniat jahat.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan kesediaan memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap saya.

“Saya mengingatkan rakan-rakan supaya berhati-hati membuat tuduhan kerana saya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap saya,” tegasnya.

Abdul Khalid turut menegaskan sekali lagi bahawa beliau akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat Selangor dengan mentadbir negeri tersebut secara telus, bertanggungjawab dan pentadbiran yang baik.

Saifuddin dalam sidang medianya di Petaling Jaya semalam  berkata, PKR akan mengeluarkan nota penjelasan mengenai tindakan parti itu yang mahu Abdul Khalid berundur daripada jawatan menteri besar.

Katanya, nota itu akan mendedahkan secara terperinci mengenai keraguan terhadap integriti dan disiplin Abdul Khalid dan rasional mahu melantik presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti.

Nota itu antara lain akan menjelaskan mengenai tindakan Khalid yang menyelesaikan hutang dengan Bank Islam di luar mahkamah dan juga kegagalan menteri besar itu menjawab beberapa isu yang menimbulkan banyak keraguan khususnya melibatkan urus niaga bernilai jutaan ringgit, katanya.

Saifudin berkata nota setebal lebih 40 muka surat itu antara lain juga akan mendedahkan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana.

Katanya, PKR telah memanggil Abdul Khalid untuk memberi penjelasan tetapi tidak pernah menerima sebarang maklum balas sehingga sekarang.

“Setelah mengadakan pertemuan dalam seminggu kebelakangan ini dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk PAS, kita telah bersetuju untuk memberikan penerangan secara bertulis berhubung perkara yang berlaku sekarang.

“Ini kerana kita melihat ada keperluan memberi penerangan tersebut mengenai sebab musabab, alasan, dan rasional PKR membuat keputusan itu selain beberapa isu lain yang perlu dijelaskan oleh Tan Sri Abdul Khalid,” katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata Kongres Nasional PKR 2014 akan diadakan pada 22 hingga 24 Ogos ini di Stadium Melawati Shah Alam.

Seramai 3,740 perwakilan layak menghadiri kongres itu, dan dianggarkan seramai 200 jemputan khas terdiri daripada duta asing, badan bukan kerajaan (NGO), pimpinan Pakatan Rakyat, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). — Bernama

Advertisement