Anda di sini

Warisan budaya tonjol identiti masyarakat

Advertisement

Oleh Kelvin Lambai //

Pertahan keunikan pakaian tradisional untuk tatapan generasi akan datang: Harden

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis mahu warisan budaya dikekalkan kerana ia melambangkan identiti tersendiri masyarakat dan tradisi yang mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata, ini termasuk pakaian, makanan, adat resam, seni dan sebagainya sekali gus mencerminkan kemajmukan masyarakat Malaysia yang hidup aman dan bersatu padu.

“Misalnya, keunikan pakaian tradisional terdiri daripada pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni juga melambangkan budaya tradisional masyarakat kita yang turut menunjukkan budi pekerti dalam masyarakat majmuk di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Budaya Cheongsam dan Pakaian Kitar Semula anjuran Pemuda Persatuan Hopoh Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah di sini, malam kelmarin.

Justeru, Harden berkata budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kaum masing-masing yang amat penting untuk mengetahui asal usul masyarakat agar tidak dilupakan begitu sahaja.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat khususnya golongan muda untuk menghargai pemakaian dan penghasilan pakaian tradisional dengan mengamal dan mempelajarinya agar tradisi ini tidak pupus ditelan zaman.

“Saya berharap program seumpama ini mampu menghidupkan kembali amalan pemakaian dan penghasilan pakaian tradisional dan usaha seperti ini dapat menghidupkan warisan budaya kita dan juga menjana sumber ekonomi rakyat,” katanya.

Harden yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan menjelaskan, kitar semula merupakan aktiviti yang memberi maanfaat dan faedah besar dalam mengekalkan sumber dan alam semula jadi yang kian terancam.

Jelasnya, pendidikan amat penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar khususnya di kalangan generasi muda.

“Melalui kesedaran itu, generasi muda dapat memainkan peranan lebih aktif dan menggembleng tenaga untuk melindungi alam sekitar serta menyelesaikan masalah berkaitan isu-isu persekitaran.

“Untuk itu, saya berpendapat ada baiknya generasi muda khususnya mereka yang masih berada di bangku sekolah terus didedahkan dengan pendidikan alam sekitar secara formal supaya mereka memperolehi pengetahuan tentang pentingnya penjagaan alam sekitar kepada kehidupan manusia sejagat,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan Temenggung Sii Toh Peng, Presiden Persatuan Hopoh Bahagian Sri Aman Penghulu Lee Siang Hua, Penghulu Lee Thong Sen, Pengerusi Pengelola Hwang Chiew Sia serta ketua-ketua masyarakat.

Pada majlis itu, Harden turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM11,000 untuk persatuan tersebut menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.

Advertisement