Anda di sini

Warga Kuching kembali ke bandar selepas Aidilfitri

Advertisement

KUCHING: Suasana di Terminal Bas Kuching Sentral semalam sesak apabila ramai warga kota kembali ke bandar selepas menyambut Aidilfitri di kampung.

Rata-rata penumpang memilih untuk pulang awal sebelum mula bekerja hari ini, selain sesi persekolahan yang turut disambung semula.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati keadaan sesak dengan kehadiran warga kota di ruang ketibaan penumpang seawal jam 9 pagi dan dijangka akan lebih ramai menjelang malam.

Kesesakan itu bukan sahaja ekoran masyarakat Islam yang pulang ke bandar, malah turut dirasai oleh masyarakat agama lain yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung kerana cuti panjang.

Bagi salah seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Naim, 30, walaupun cuti agak singkat dan dia sampai di sini pada Hari Raya keempat, dia bersyukur kerana dapat merasai pengalaman beraya di Kuching.

“Termasuk hari ini (semalam), tiga hari saya sempat beraya di Kuching iaitu di rumah sahabat saya di Kota Samarahan dan meskipun masa itu sangat singkat, saya tetap berasa puas kerana hasrat saya untuk beraya di sini tercapai.

“Lagipun, ini memang dilema semua orang yang bekerja, saya akan pulang ke Sibu kerana esok (hari ini) saya akan mula bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui.

Katanya yang berasal dari Mukah, kemudahan bas ekpres merupakan pilihan yang baik memandangkan ia mudah serta jimat selain turut mengatakan hasrat untuk kembali lagi ke bandar raya ini sekiranya mempunyai cuti panjang.

Perasaan sama turut dirasai pelajar Sekolah Menengah Teknik Sejingkat Mariana Empi, 17, dan tujuh rakannya yang lain selepas pulang ke kampung halaman mereka di Miri.

“Miri agak jauh dan kami jarang pulang. Memandangkan cuti Aidilfitri selama seminggu, jadi kami mengambil peluang yang ada untuk pulang ke kampung dan berjumpa keluarga,” katanya.

Advertisement