Anda di sini

Tiada penularan virus Ebola di Malaysia

Advertisement

Kerajaan tetap pantau, aktiviti kesiapsiagaan dan respons terutama di KLIA diperkukuh

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata setakat ini tiada laporan mengenai penularan Penyakit Virus Ebola (EVD) di negara ini dan pemantauan mengenainya sedang dijalankan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan telah memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons terutama di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghadapi penularan EVD.

Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Kebangsaan (CPRC) sedang memantau dan menyelaras aktiviti kesiapsiagaan dan respons dalam menghadapi penyakit Ebola, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Subramamaniam berkata selain itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mempunyai makmal yang berkeupayaan untuk mengesan virus Ebola sementara hospital kerajaan di seluruh negara mempunyai kemudahan untuk merawat penyakit tersebut.

Beliau berkata demikian mengenai penyakit Ebola yang merupakan penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan primat seperti monyet yang kini dikesan di tiga kawasan Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1 Ogos lepas, sehingga 27 Julai lepas sebanyak 1,323 kes dikesan termasuk 729 kematian disebabkan Ebola di Sierra Leone, Liberia dan Guinea di Afrika Barat.

Dr Subramaniam berkata selain memperketatkan pengesanan dan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa terutama di KLIA, pihaknya juga telah berkerjasama rapat dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang lain termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen untuk memastikan mereka melakukan saringan ke atas pelawat yang tiba.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran telah dinasihati untuk menyaring pelajar asing yang pulang ke negara Afrika yang berwabak EVD.

Sementara Kementerian Luar diminta untuk menasihati rakyat Malaysia yang berada negara Afrika yang terlibat mengenai EVD, serta rakyat Malaysia yang akan ke negara-negara tersebut.

“Semua langkah pencegahan dan kawalan ini bermula selepas pemakluman oleh pihak WHO berkaitan kejadian ini dalam bulan Mac tahun ini,” katanya.

Dr Subramaniam berkata di Malaysia, Ebola adalah satu daripada penyakit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (PCID) 1988.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan penyakit ini melalui maklumat yang diperoleh daripada WHO dan sebarang perkembangan terkini mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. — Bernama

Advertisement