Anda di sini

SPDP Dudong sebulat suara sokong Tiong dan Anthony

Advertisement

SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Dudong sebulat suara menyokong Datuk Seri Tiong King Sing dan Ahli Parlimen Mas Gading, Anthony Nogeh masing-masing dilantik Presiden dan Timbalan Presiden SPDP.

Pengerusinya, Teo Boon Siew berkata kedua-dua pemimpin parti itu dilihat berpotensi membawa SPDP berwajah baharu ke arah kecemerlangan dalam pencapaian politik negeri ini.

“Kami SPDP Bahagian Dudong menyatakan sokongan agar Tiong yang sebelum ini sebagai pemangku Presiden SPDP dilantik menjadi Presiden.

“Begitu juga Anthony supaya dilantik Timbalannya yang dilihat berperanan besar dalam SPDP membantu Tiong menggerakkan jentera parti,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, SPDP Bahagian Dudong mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) disaksikan serta diselaraskan oleh Ahli Majlis Tertinggi SPDP, Kapten Tiong Kuong Chiing.

Pada AGM itu, Teo mengekal jawatannya sebagai Pengerusi SPDP Bahagian Dudong bagi penggal 2014-2017.

Pada pemilihan itu, Jonathan @ Gerusin Ranggau dipilih Timbalan Pengerusi manakala jawatan Naib Pengerusi I disandang Datuk Raymond Nayang Nyayom.

Majang Ngadang dan Simon Wee masing-masing dipilih sebagai Naib Pengerusi II dan III.

Setiausaha SPDP Bahagian Dudong dipilih ialah Amping Ranggau sambil dibantu Frankie Nyalau Suring.

Teo Wen Huat sebagai Bendahari sambil dibantu Peter Ranggau.

Jawatan Ketua Penerangan disandang Yii Souk Ming, sementara Ketua Pemuda SPDP Bahagian Dudong diterajui Kaunselor Teo Ming Lung dan Ketua Wanita SPDP Bahagian Dudong Liew Muk Moi.

Ahli-ahli biasa dibarisi Richard Sandah, Lee Pak Leong, Paul Majar, Jack Ambau dan Chin Hui Ping.

Sementara itu, Teo turut memberi peringatan kepada ahli-ahli SPDP yang telah keluar parti agar tidak mengundang masalah ke dalam parti itu.

“SPDP adalah untuk ahli SPDP sahaja. Mereka yang sudah keluar tiada kaitan dengan kami lagi (ahli SPDP). Kami kini sudah mempunyai tulang belakang parti yang boleh dipercayai serta setia dengan Barisan Nasional (BN) iaitu Tiong dan Anthony.

“Pendek kata, SPDP masih relevan walaupun terdapat pemimpin dalam parti sama ada di peringkat pusat, cawangan dan sebagainya keluar parti. Kita tetap meneruskan perjuangan parti dan setia kepada BN,” tegasnya.

Bercakap mengenai resolusi diluluskan pada AGM tersebut, Teo berkata ahli-ahli SPDP yang keluar parti tidak disetujui menyertai mana-mana parti BN.

“Kami tidak menyokong mereka-mereka yang berkenaan menyertai BN,” jelasnya.

Dalam pada itu, Teo juga meminta pusat parti SPDP mengekalkan jawatan kaunselor dan ketua masyarakat bagi kuota SPDP di negeri ini.

Selain itu, SPDP Bahagian Dudong bersama cawangan-cawangan lain di negeri ini mempertahankan kerusi milik SPDP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Di DUN kita mempunyai lapan kerusi dan di Parlimen kita mempunyai empat kerusi. Kita bersedia mempertahankannya kerana ia milik SPDP dan tiada pihak lain boleh menggugat kerusi kita,” katanya.

Resolusi lain diluluskan meminta anggota keselamatan sentiasa membendung gejala jenayah Sibu, meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat kerap mengendalikan kursus tentang menggunakan alat pemadam api kepada rumah panjang, mengesyorkan agar Jambatan Lanang bebas tol dan mengaktifkan semula pejabat kecil Jabatan Pertanian di pangkalan feri lama Durin bagi manfaat penduduk setempat.

Advertisement