Anda di sini

Rekod gergasi

Advertisement

Oleh Borhaniza Ali Basah //

Pulut panggang gergasi jadi kebanggaan Sibu

KEBANGGAAN SIBU: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu serta yang lain memotong pulut panggang gergasi yang diiktiraf oleh ‘Malaysia Book of Records’ pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Sibu, malam tadi.

MENCABAR: Proses membuat pulut panggang gergasi itu dibuat di Jalan Bandong oleh sekumpulan lebih 30 orang menggunakan 150kg beras pulut.

SIBU: Satu catatan ‘The Malaysia Book of Records’ terukir di Jalan Bandong apabila seramai hampir 30 warga tempatan mencipta sejarah dengan menghasilkan pulut panggang gergasi yang diperbuat daripada beras pulut sebenar.

Menurut Sarakawi Bayau, 55, yang mengendalikan acara itu, pulut panggang yang dihasilkan adalah berukuran lima meter panjang, berdiameter 20 cm dan seberat 152.5kg.

Tambahnya, antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan pulut panggang gergasi tersebut ialah 150kg beras pulut, 60kg santan kelapa, lima guni arang dan daun pisang bernilai RM50.

Kata Sarakawi, ini merupakan kali pertama pulut panggang gergasi dihasilkan.

“Ini akan membuat seluruh rakyat Sarawak berasa bangga sekali gus dapat mempromosi bandar Sibu kepada dunia luar,” ujarnya.

MENCABAR: Salah satu bahagian pulut panggang gergasi yang sedia untuk dipanggang.

Acara tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Nangka dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee semalam.

Pada tahun 2011, satu rekod dunia baharu tercatat di Jalan Airport Lama di sini apabila ‘Skrol Graffiti Terpanjang’ berjaya dihasilkan.

Pada bulan April lalu, Sibu memecah rekod terdahulu apabila berjaya merekod jumlah orang awam memakai pakaian umpama pokok paling ramai.

Pada hari catatan rekod tersebut, seramai 678 peserta berkumpul di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) di sini menggunakan pakaian serba hijau.

Sementara itu, Sarakawi bersama 30 ahli kumpulan yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarganya sendiri berkata, persediaan untuk membuat pulut panggang gergasi tersebut dimulakan pada jam 9.30 malam kelmarin.

“Kita tidak boleh membuat persediaan pada pagi ini (semalam) kerana terdapat pelbagai kerja perlu dilakukan.

“Hanya santan kelapa yang dibuat pagi ini (semalam) kerana ia cepat rosak jika dihasilkan terlalu awal,” jelasnya.

Kata Sarakawi, beliau belajar membuat pulut panggang daripada ayahnya dan menurunkan kemahiran tersebut kepada isteri beliau, Jamakyah Lias, 54, dan lapan anaknya yang lain.

Menurutnya, bahagian paling mencabar dalam menghasilkan pulut panggang gergasi tersebut ialah penyediaan beras pulut dan proses membuat santan.

KAGUM: Dr Annuar tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menghasilkan pulut panggang gergasi.

Advertisement