Anda di sini

Pulihara biodiversiti untuk tarik pelancong, kata Dawos

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

TAHNIAH: Dawos (dua belakang) menjulang trofi kemenangan bersama pengurus pasukan Anak Kampung, Donald Ruan (dua kanan) pada Pesta Padawan Raft Safari 2014 di Kampung Git semalam. Turut kelihatan Lo (kanan).

PADAWAN: Rakyat perlu memelihara dan memulihara biodiversiti negeri yang kaya dengan rimbunan hijau sebagai tarikan kepada pertambahan jumlah pelancong menjelang 2015.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr James Dawos Mamit berkata, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk dijayakan pada tahun hadapan bagi tujuan tersebut.

“Satu pelan telah dirancang sebelum ini dalam industri pelancongan negara iaitu kita mahu menarik 36,000 pengunjung asing yang akan menjana wang berjumlah RM68 bilion ke dalam ekonomi negara.

“Buat masa sekarang apa yang perlu diperbanyakkan lagi ialah aktiviti mempromosi jadi saya merasakan sudah menjadi tanggungjawab kementerian saya untuk membantu Kementerian Pelancongan melakukannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Padawan Raft Safari 2014 di Kampung Git semalam.

Beliau percaya kawasan semula jadi yang hijau di Kuching hingga ke Kapit dapat dimajukan sebagai destinasi pelancongan yang boleh mengaut keuntungan berganda buat negara dan menambah pendapatan isi rumah.

Dawos turut menyatakan tragedi yang menimpa syarikat penerbangan komersil kebangsaan negara, MAS baru-baru ini tidak memberi impak yang besar kepada industri pelancongan negara.

Keyakinan itu tambahnya, pasti akan tercapai sekiranya mendapat sokongan daripada ramai ahli isi rumah yang berminat untuk menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan semula jadi.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan teh ‘Bekah Beras’ yang didapati di Kampung Annah Rais, jalan Puncak Borneo berupaya mengubati penyakit kencing manis sekiranya diamalkan.

Bagaimanapun, pihaknya telah menghantar sampel bahan berkenaan untuk dikaji khasiatnya yang mana tambahnya, boleh diusahakan sebagai perniagaan kecil dan sederhana oleh isi rumah.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang juga menambah bahawa pihaknya telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi menambah baik prasarana bagi menjalankan Pesta Padawan Raft Safari untuk tahun depan.

Beliau memuji usaha penduduk Kampung Annah Rais yang katanya bijak menggunakan peluang untuk menjalankan perniagaan dalam industri pelancongan yang perlu diteladani oleh penduduk kampung di kawasan sekitar.

Dawos juga menyerahkan hadiah kepada juara keseluruhan Pesta Padawan Raft Safari 2014, Kumpulan Anak Kampung yang telah memegang gelaran tersebut sejak 2006.

Advertisement