Anda di sini

Pemimpin DAP, PKR kunjungi rumah terbuka pemimpin BN

Advertisement

KUCHING: Meskipun berbeza ideologi politik namun ia tidak menghalang pemimpin pembangkang daripada DAP dan PKR di negeri ini untuk mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pemimpin Barisan Nasional (BN).

Malah, menurut Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How, mereka turut menerima jemputan daripada beberapa pemimpin BN lain seperti yang dikunjungi semalam anjuran Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Ini bukan pertama kali kami menerima jemputan daripada rakan-rakan kami dalam BN. Contohnya, tahun lepas Datuk Seri Rohani Abdul Karim ada menjemput kami, namun kami tidak dapat mengunjungi beliau atas sebab tertentu.

“Malam ini (malam tadi) kami akan ke rumah Datuk Naroden Majais juga merupakan salah seorang ahli Majlis Tertinggi BN dan mungkin akan mengunjungi beberapa orang lagi pemimpin dan wakil rakyat BN yang turut mengundang kami ke rumah terbuka mereka,” ujarnya.

See berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Karim yang juga ADUN Asajaya serta Menteri Muda Pembangunan Belia di sini semalam.

Selain See, kunjungan semalam turut disertai oleh Pengerusi PKR Negeri Baru Bian, Ketua Wanita PKR Voon Shiak Ni, Ketua Cabang PKR Petra Jaya Baharudin Mokhsen serta lain-lain.

Dalam pada itu, majlis rumah terbuka itu semalam dimeriahkan lagi dengan kehadiran pemimpin DAP yang diketuai oleh Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen.

Sama seperti pemimpin PKR, kehadiran pemimpin DAP pada rumah terbuka Karim semalam menunjukkan semangat toleransi dan perpaduan yang tinggi antara mereka meskipun berbeza fahaman politik.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah beberapa orang wakil rakyat DAP yang lain antaranya ADUN Padungan Wong King Wei, ADUN Batu Kawa Christina Chiew, ADUN Pending Violet Yong serta Ahli Parlimen Stampin Julian Tan.

Para pemimpin daripada DAP dan PKR tersebut meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra dengan Karim dan ahli keluarga serta tetamu lain yang turut hadir ke rumah terbuka itu semalam.

Advertisement