Anda di sini

Pemain tenis Sarawak ditawarkan biasiswa untuk melanjut pelajaran

Advertisement

KUCHING: Sukan tenis bukan sahaja menyediakan peluang karier bagi pemain, tetapi juga menawarkan mereka peluang melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa sukan.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew berkata sehingga kini seramai 40 pemain tenis di Sarawak telah menamatkan atau sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan Australia di bawah biasiswa tenis oleh universiti masingmasing.

“Sukan tenis menyediakan peluang kepada pemain terbaik kita terutamanya mereka yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) atau kejohanan ITF Junior untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Jika mereka tidak dapat menjadi pemain profesional sekurang-kurangnya mereka memiliki kelayakan akademik untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik,” katanya di sini semalam.

Menurut Patrick, pemain perseorangan negeri yang memenangi pingat emas pada SUKMA Perlis, Aslina Chua adalah pemain baharu yang diterima melanjutkan pelajaran di universiti Amerika Syarikat di bawah biasiswa penuh tenis.

“Aslina ditawarkan biasiswa untuk mengikuti kursus selama empat atau lima tahun di Michigan State University dan beliau mendapat nasihat saya sama ada untuk meneruskan latihan atau belajar,” katanya.

Justeru, Patrick menyarankan Aslina agar pergi mendapatkan kelulusan akademik tersebut sebagai ‘penyelamat masa depan’ bagi menghadapi kemungkinan beliau tidak dapat maju di dalam karier tenis.

Permohonan Aslina berjaya dengan cadangan penuh SLTA dan jurulatih dari Romania, Doru Murariu yang melatih Aslina selama enam bulan di Tennis Players Fitness Academy Florida, Amerika Syarikat.

“Setiap tahun, kami menasihatkan pemain agar gigih berlatih terutamanya selepas menamatkan tingkatan lima dan mendapatkan kejayaan yang baik dalam SUKMA, kejohanan peringkat kebangsaan lain serta ITF Junior,” katanya.

Sementara, Aslina menyuarakan penghargaannya kepada SLTA dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia atas sokongan berterusan serta bantuan yang diberikan kepadanya.

Gadis berusia 18 tahun itu memberitahu beliau akan mengikuti program pra-perubatan bermula bulan ini dengan harapan memperolehi diploma/ijazah.

Advertisement