Anda di sini

MH17: Negara kendali bicara masih dipertimbang

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa //

Keputusan akan dibuat selepas hasil siasatan diperolehi untuk beri manfaat kepada semua mangsa

SELAMAT HARI RAYA: Nancy ditemani suaminya, Kamil Misuari (kanan) menyambut tetamu yang datang pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Pustaka Negeri Sarawak semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Penentuan negara yang akan mengendalikan perbicaraan dalang nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu masih dipertimbangkan untuk memberi manfaat kepada semua mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menjelaskan, pemilihan negara yang bakal mengendalikan proses perbicaraan akan dibuat sebaik sahaja keputusan hasil siasatan itu selesai.

Beliau turut memberitahu, Malaysia dan Ukraine bukan anggota Mahkamah Jenayah Anrabangsa (ICC), berbanding Belanda yang merupakan anggota ICC.

“Negara perbicaraan masih belum ditentukan lagi, masih bergantung kepada keputusan siasatan, jika keputusan siasatan mendapati lebih baik dilakukan (perbicaraan) di Malaysia, dalang akan didakwa di negara ini.

“Kalau keputusan siasatan mendapati lebih baik didakwa di negara lain terutama Belanda, jadi kita serahkan kepada Belanda, yang penting keputusan memilih negara perbicaraan akan memberi faedah semua mangsa nahas tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini semalam.

Mengulas lanjut perkara itu, Nancy berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail yang kini mewakili Malaysia dalam jawatankuasa menyiasat nahas MH17 tetap mengkaji pilihan terbaik sama ada mengambil tindakan membicarakan dalang di dalam atau luar negara.

Tegasnya, pemilihan negara yang akan mengendalikan itu penting supaya kesemua mangsa MH17 mendapat manfaat yang setimpal.

“Walaupun Malaysia bukan anggota ICC, tindakan terhadap dalang masih boleh dilakukan di negara ini.

“Kita ada peruntukan tertentu antaranya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu penentuan negara yang akan mengenalikan perbicaraan itu akan diketahui sebaik sahaja hasil siasatan selesai sepenuhnya.

Advertisement