Anda di sini

MBAS pindah peniaga pasar malam Pantai Johor ke Jalan Suka Menanti

Advertisement

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak menutup atau memberhentikan operasi pasar malam Pantai Johor di sini, sebaliknya memindahkan tapak pasar malam itu ke tempat baharu di Jalan Suka Menanti.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad berkata tapak pasar malam itu dipindahkan setelah mengambil kira faktor keselesaan, kebersihan dan keselamatan susulan 57 aduan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata tapak pasar malam berada di sebelah jalan raya utama yang laluannya sentiasa sibuk, menyebabkan laluan untuk pengguna jalan raya terganggu.

“Lokasi pasar malam ini terletak dekat dengan Lebuhraya Darulaman yang mana ia jalan protokol, sentiasa digunakan VVIP dan VIP sepanjang masa, bermula dari Kepala Batas hingga pusat bandar. Secara tidak langsung, kenderaan VVIP dan VIP juga terganggu dengan adanya pasar malam ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Jumaat lalu, kira-kira 200 peniaga pasar malam di Pantai Johor menunjuk perasaan sebagai membantah tindakan MBAS menghentikan operasi pasar malam itu berkuat kuasa hari tersebut.

Mereka mendakwa MBAS tidak berbincang dengan mereka sebelum mengeluarkan notis menamatkan operasi pasar malam setiap Jumaat. Kumpulan peniaga itu turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Pada sidang media itu, Mat Noh berkata para peniaga meletakkan kenderaan mereka seperti van, motosikal dan kereta di tepi jalan serta menggunakan sebahagian daripada jalan itu yang secara tidak langsung menyebabkan laluan menjadi sempit.

Beliau berkata laluan terutama menghala ke selatan turut menjadi sempit apabila para pelanggan juga meletakkan kenderaan mereka di atas jalan yang samadi mana kesesakan laluan di sekitar Pantai Johor disebabkan operasi pasar malamitu boleh menyebabkan pengunjung mahupun peniaga terdedah kepada bahaya kemalangan.

Dalam pada itu, Jalan Taman Seri Pantai, jalan di hadapan Masjid Al-Bukhari dan taman-taman perumahan di bahagian belakang turut terganggu kerana para peniaga menggunakan jalan tersebut untuk membuka gerai. — Bernama

Advertisement