Anda di sini

Maklumat Ebola dan denggi di akaun Facebook CPRC Kementerian Kesihatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mewujudkan maklumat terkini mengenai penularan penyakit di dalam dan luar negara termasuk deman denggi dan Ebola, Kementerian Kesihatan mewujudkan akaun Facebook CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia.

Facebook CPRC atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Kebangsaan (CPRC) yang merupakan pusat sehenti bagi pengurusan krisis dan bencana berkaitan kesihatan awam diwujudkan sejak 1 Jan lepas, memaparkan maklumat terkini mengenai penyakit berjangkit yang sedang menular di dalam dan luar negara.

Selain memuatkan laporan media dan kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan mengenai demam denggi di negara ini, laman Facebook itu juga turut memuatkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai statistik terbaharu penyakit berjangkit Ebola di beberapa buah negara Afrika barat serta demam influenza di China dan kolera (taun) di Ghana.

Akaun Facebook itu turut mewujudkan pautan dengan WHO serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Maklumat lain yang dipaparkan dalam akaun Facebook itu termasuk aktiviti warga kerja Kementerian Kesihatan seperti program saringan kesihatan, saringan kesihatan mental dan intervensi respons psikososial kepada 63 anggota pasukan penyelamat nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang tiba dari Ukraine pada 27 Julai, lepas.

Akaun Facebook tersebut turut memuatkan tips bagi mencegah nyamuk aedes daripada membiak di kawasan kediaman dan laporan terkini kes denggi di seluruh negara.

Bagi rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara Facebook CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia ini dapat membantu dalam mendapatkan maklumat mengenai situasi penyakit berjangkit di luar negara. — Bernama

Advertisement