Anda di sini

Lelaki mengamuk gara-gara mabuk

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki yang dipercayai mabuk, mengamuk selepas gagal menemui motosikalnya di Tebingan Kuching, awal pagi semalam.

Dalam insiden sekitar jam 12 tengah malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan menimbulkan kekecohan sehingga menjejaskan ketenteraman para pelancong dan orang ramai yang sedang minum di gerai-gerai berhampiran.

Susulan menerima panggilan kecemasan, polis bergegas ke tempat kejadian untuk menangkap lelaki tersebut, namun suspek dikatakan agresif lalu menolak seorang anggota polis sehingga terjatuh.

Suspek bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh seorang lagi anggota polis sebelum digari dan dibawa ke One Stop Centre, Jalan Simpang Tiga sekitar 12.48 pagi untuk diambil kenyataan.

Terdahulu, pada kira-kira jam 6 petang kelmarin, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan berlumuran darah di Tebingan Kuching.

Mangsa, dari Limbang, ditemui oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi pihak polis.

Polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian dan membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa yang cedera parah di kepala dikatakan menolak dan berkeras ingin memandu sendiri.

Setelah menjalani pemeriksaan dan rawatan di HUS, keadaannya dilaporkan stabil.

Advertisement