Anda di sini

Kerajaan Seoul serah RM8,000 untuk projek ‘Digital Guro’

Advertisement

KUCHING: Kerajaan Seoul semalam menyerahkan 3 juta won (kira-kira RM8,000) untuk projek anak angkat orang utan yang digelar ‘Digital Guro’ berumur tiga tahun bagi tahun keduanya di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini.

Menurut sumber, Naib Pengerusi Majlis Daerah Guro, Seoul, Sho Ho-Hyeon menyerahkan sumbangan itu kepada pejabat Ketua Menteri ketika dalam rangka lawatan beliau ke bandar raya ini kelmarin.

Sho ketika melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh ditemani oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan bersama kira-kira 15 delegasi.

Pakar ekologi dari Sarawak Forestry Corporation, Rambli Ahmad semalam memberitahu orang utan tidak gemar keluar pada musim buah-buahan.

“Ia berikutan banyak makanan yang boleh didapati oleh orang utan di dalam hutan menyebabkan mereka enggan keluar ke kawasan memberi makanan,” katanya ketika mengadakan taklimat pendek untuk delegasi Seoul itu semalam.

Bagaimanapun, seekor anak orang utan bernama ‘Anaku’ berumur tujuh tahun dilihat bergayut di kawasan berbuah tidak jauh dari kawasan taklimat diadakan.

Delegasi sempat merakamkan gambar dan video selain melihat sendiri orang utan yang hidup di kawasan hutan negeri ini.

Turut difahamkan, orang utan juga jarang keluar ke kawasan memberi makanan sejak pertengahan Jun lepas.

Advertisement