Anda di sini

Jelajah geologikal MNS di Santubong terganggu seketika

Advertisement

KUCHING: Rombongan 30 ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Kuching yang mengadakan jelajah geologikal di Taman Negara Santubong terganggu apabila pihak tidak bertanggungjawab menuntut bayaran daripada mereka.

Biarpun mendapat kebenaran daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk mengadakan jelajah secara percuma, namun kumpulan terbabit menuntut bayaran sehingga menyebabkan perjalanan mereka terganggu kira-kira 45 minit.

Bagaimanapun, selepas berbincang kumpulan tersebut akur dan membiarkan rombongan ahli MNS untuk meneruskan jelajah.

Bayaran kemasukan ke Taman Negara Santubong merangkumi RM10 untuk dewasa warganegara Malaysia dan RM20 dewasa warga asing.

Warga emas warganegara Malaysia pula dikenakan bayaran RM5 dan warga emas warga asing RM20.

Manakala, bayaran kemasukan RM5 untuk orang kurang upaya (OKU) warganegara Malaysia, manakala RM10 bagi OKU warga asing.

Kanak-kanak warganegara Malaysia berusia enam hingga lapan tahun dikenakan bayaran RM3 dan RM7 untuk kanak-kanak warga asing, manakala percuma kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Ketua rombongan Hans Hazebroek yang sedikit kesal dengan tindakan kumpulan terbabit berkata, insiden seperti itu sepatutnya tidak berlaku kerana mereka mendapat kebenaran.

Mengulas lanjut mengenai jelajah tersebut, Hans menjelaskan, perjalanan yang mengambil masa 45 minit itu memperkenalkan ahli jelajah dengan batu yang terdapat di sepanjang laluan air terjun dan sungai berhampiran.

“Kawasan ini memang sesuai kepada mereka yang berminat untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai pelbagai jenis batu yang terdapat di sini,” ujarnya.

Taman yang terletak di kaki Gunung Santubong itu, katanya, amat menarik kerana dikelilingi hutan hujan selain pemandangan indah kawasan sekitarnya.

Advertisement