Anda di sini

Bolt tambah koleksi pingat

Advertisement

England mendahului kutipan pingat pada temasya Sukan Komanwel buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun

GLASGOW, Scotland: Jaguh pecut sensasi, Usain Bolt, menjadi pelari terakhir untuk membantu pasukan Jamaica memenangi pingat emas acara 4×100 meter berganti-ganti Sukan Komanwel di sini, ketika England mendahului kutipan pingat buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun Sabtu lepas.

Pada apa yang merupakan penamat sempurna acara trek dan padang di Hampden park, Jason Livrmore, pemenang pingat emas 100 meter, Kemar Bailey- Cole dan pemenang pingat gangsa, Nickel Ashmeade, melakukan larian sempurna sebelum menyerahkan baton kepada Bolt untuk melepasi garisan penamat di tempat pertama.

Bolt, 27, yang memenangi enam pingat emas di Sukan Olimpik dan lapan pingat kejuaraan dunia tetapi membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel, tidak melakukan sebarang kesilapan untuk melepasi garisan penamat dengan catatan masa 37.58 saat.

“Ia sangat bermakna sekali. Pingat emas Sukan Komanwel adalah satu-satu pingat yang belum ada dalam koleksi saya,” kata Bolt, yang tidak berlari dalam acara 100 dan 200 meter selepas masih bergelut dengan kecederaan kaki yang memaksa beliau tidak menyertai kejohanan kebangsaan Jamaica, yang merupakan kejohanan pemilihan ke Sukan Komanwel.

“Saya berasa gembira untuk berada di sini dan saya meminta maaf kerana tidak dapat berlari dalam acara individu kerana suasana di sini sangat hebat sekali.”

Dalam acara yang sama untuk bahagian wanita, Jamaica juga menguasai perlumbaan apabila gandingan Kerron Stewart, Veronica Campbell-Brown, Schillonie Calvert dan Shelly-Ann Fraser-Pryce memenangi pingat emas.

Pelari jarak jauh dan sederhana dari Kenya, terus menguasai acara mereka apabila Mercy Cherono dan Janet Kisa memenangi pingat emas dan perak dalam acara 5,000 meter wanita, dengan pingat gangsa dimenangi pelari England, Jo Pavey.

Kecemerlangan Cherono dan Kisa kemudian diulangi oleh James Magut dan Ronald Kwemoi dalam acara 1,500 meter lelaki.

Emas acara 1,500 meter buat Magut adalah yang ketiga pada kejohanan ini selepas memenangi acara 5,000 meter dan 3,000 meter lari berhalangan.

Julius Yego dari Kenya, memenangi acara rejam lembing lelaki.

Dengan baki sehari lagi kejohanan, England mendahului kutipan pingat dengan 165 keseluruhannya, di mana 56 daripadanya adalah emas sementara Australia di tempat kedua dengan 132 pingat, di mana 45 daripadanya adalah emas.

Hanya 11 pingat emas menjadi buruan pada hari terakhir dan ini membolehkan England akan mengatasi Australia dalam kutipan pingat buat kali pertama sejak Edinburgh pada 1986.

Sukan Komanwel bagaimanapun tercemar dengan pengumuman di mana bekas juara dunia 400 meter wanita, Amantle Montsho, gagal dalam ujian dadah Sabtu lepas.

Atlet dari Botswana, yang memenangi kejuaraan dunia pada 2011, diuji positif untuk dadah larangan methylhexaneamine selepas acara akhir 400 meter.

Jumaat lepas, atlet angkat berat remaja Nigeria, Chika Amalaha, ditarik balik pingat emas untuk kategori 53 kg selepas gagal ujian dadah.

Pasukan tinju England membawa pulang lima pingat emas dari 13 acara akhir – menerusi kejayaan Nicola Adams, Joseph Joyce, Savannah Marshall, Scott Fitzgerald dan kapten pasukan, Antony Fowler.

Australia memenangi pingat emas yang keempat berturut- turut dalam acara hoki wanita selepas menewaskan England 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

England hampir mencipta kejutan apabila mendahului 1-0 sehingga beberapa saat sebelum tamat permainan masa sebenar.

Tom Daley dari England, memenangi acara terjun 10 meter yang kedua berturutturut sementara Esther Qin dari Australia memenangi acara papan anjal 3 meter wanita.

England bagaimanapun tersentak dengan dua kekalahan pasukan bola jaring dan hoki lelaki di peringkat separuh akhir.

Pasukan bola jaring England tewas 34-35 kepada New Zealand sementara pasukan hokinya tewas 1-4 kepada Australia.

Joshana Chinappa dan Dipika Pallikal memastikan pingat emas sulung buat India dalam sukan Skuasy apabila mengejutkan pilihan pertama kejohanan, Laura Massaro dan Jenny Duncalf dari England 11-6 dan 11-8 dalam acara bergu wanita.

Singapura menamatkan sukan ping pong dengan memenangi enam dari tujuh pingat emas selepas Zhan Jian memenangi acara perseorangan lelaki dan Feng Tianwei memenangi emas ketiganya di sini apabila bergandingan dengan Yu Mengyu untuk memenangi emas acara bergu wanita. — AFP

Advertisement