Anda di sini

Bersatu realisasi kemajuan negeri

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Perpaduan rakyat penting untuk memastikan pembangunan tercapai

KUCHING: Hasrat negeri ini untuk maju dan melangkah lebih jauh akan terbantut sekiranya semua pihak khasnya rakyat tidak bersatu padu dan bersungguh-sungguh untuk menjayakannya.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Sarawak memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa dan melalui hubungan harmoni ini pastinya akan mampu memperkukuhkan pembangunan negara.

“Dalam membangunkan negeri dan negara ini, kita berkehendakkan kestabilan yang kuat.

“Sebagaimana sedia maklum, Sarawak mempunyai sumber kaya yang kita boleh kongsi dengan semua kaum.

“Oleh itu, kita hendaklah mempunyai pengurusan dari segi ekonomi dan masyarakat yang mantap supaya dapat memanfaatkan sumber yang ada dengan baik untuk memajukan negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilftri Kampung Bandarsah anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah di Pusat Sumber Tun Abang Haji Openg di sini, malam kelmarin.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menegaskan, dalam membangunkan negeri dan negara, semua pihak perlu memberikan sokongan padu dan teguh kepada pemimpin.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama doakan di bawah kepimpinan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, negeri kita akan sentiasa maju, rakyatnya sentiasa bersatu padu dan seterusnya dapatlah kita melangkah lebih jauh lagi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, dari sudut ekonomi bandar raya Kuching telah membangun dengan pesat dan turut memiliki ramai usahawan hasil usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi rakyat khasnya kaum Bumiputera.

Justeru, katanya, bagi menyeimbangkan perkembangan tersebut kerajaan pada masa ini sedang berusaha membangunkan kawasan pertengahan dan pinggiran bandar Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari melahirkan rasa bangga terhadap penduduk di Kampung Bandarsah dan sekitarnya kerana sentiasa bersatu dalam menjayakan pelbagai aktiviti.

“Oleh sebab itu, setiap kali pilihan raya diadakan kita di sini menang besar dengan kekuatan yang ada ini,” katanya yang ingin semangat itu dikekalkan sampai bila-bila.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Abdul Rahman Zainudin dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, tujuan utama majlis itu diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan masyarakat di situ.

Turut hadir Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg serta Pengurus Besar Yayasan Budaya Melayu Sarawak Datu Sanib Said.

Terdahulu, pada majlis itu Abang Johari mengumumkan peruntukan bernilai RM20,000 untuk membeli kelengkapan sistem siaraya kepada Pertubuhan Anak Seni Bandarsah.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan Kombo dan Orkestra Pertubuhan Anak Seni Bandarsah.

Advertisement