Anda di sini

Anak Kampung Biak Jabir ‘Raja Sungai Semadang’

Advertisement

KUCHING: Kisah empat pemuda dari Kampung Biak Jabir Padawan seperti pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu’ apabila berjaya merangkul juara kategori expert dan mendapat gelaran Raja Sungai Semadang, di sini semalam.

Menurut pengurus pasukan, Donald Ruan anak-anak buahnya semua bermotivasi tinggi, minat berakit dan sentiasa mahu bekerjasama membolehkan pasukan mereka muncul juara selama lapan tahun berturut-turut.

“Pasti orang tidak akan percaya kami hanya berlatih dua kali sebelum perlawanan dan persiapan mengikat dan menghias rakit juga dibuat semalam. (kelmarin).

“Sebenarnya persediaan kami tidak terlalu awal, kami cuma buat yang terbaik untuk diri kami sendiri,” katanya ditemui pada majlis Penutupan Padawan Raft Safari di Kampung Git, di sini semalam.

Pasukan Anak Kampung mencatatkan masa terpantas iaitu 5:21:38 melahirkan rasa terharu kerana mendapat sokongan padu kalangan penduduk kampung.

Tambahnya, inspirasi pasukannya diperolehi dengan hanya melihat orang tua dari kampung mereka yang terdahulu berakit dari Kampung Abang hingga Kampung Sungai Sarawak.

“Kalau orang tua kami dapat buat, kenapa kami tidak dapat buat. Selain menyatakan gaya hidup aktif mungkin mendorong kepada kejayaan pasukan.

“Kini, perkampungan di kaki bukit yang jauhnya 42 kilometer dari Kuching itu sudah mula menarik golongan kanak-kanak untuk menyertai aktiviti berakit,” katanya.

Donald berharap ada pihak yang menjemput pasukannya untuk menyertai pertandingan berakit lebih berprestij di tempat-tempat lain sekiranya ada.

Menurunya juga, taktik latihan pasukan itu hanyalah dengan berlatih berakit mengikut arus sungai dan melawan arus sungai di tempat perlawanan diadakan.

“Hadiah wang tunai nanti akan kami bahagikan sama rata… kami bukan mahukan wang atau hadiah tetapi kami cuma motivasi golongan muda di kampung,” katanya.

Dalam kategori sama, tempat kedua digondol pasukan Lanting Semut dengan catatan masa (5:52:10) dan tempat ketiga pasukan Kampung Sungan Puncak Mutiara dengan kiraan masa 5:52:25.

Bagi kategori agensi pelancongan dan hotel, juara dimenangi Bujang Cincai dengan catatan masa dua jam 49 minit dan 52 saat, naib juara Bunsu Juak (2:52:39) dan tempat ketiga Semadi Aja (2:53:53).

Kategori terbuka lelaki, Bujang Solo (4:17:47), tempat kedua 4 Sekawan (4:18:48) dan tempat ketiga AJKK Git (4:52:55).

Kelab Rekreasi Lingga Tebekang Group B (2:47:24) muncul juara bagi kategori wanita, tempat kedua Kelab Rekreasi Lingga (2:57:00) dan ketiga Git A.I.M Bung Agu Team (3:12:00) Untuk kategori jabatan kerajaan, tempat pertama Pulapol PDRM Charlie (2:44:50), kedua Pulapol PDRM Alfa (2:50:32) dan ketiga Pulapol PDRM Bravo 2:53:02.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri James Dawos Mamit menyampaikan pingat, hadiah wang tunai serta piala kepada para pemenang.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, Pengerusi Penganjur, Kaunselor Edward Kurik, Temenggung Bidayuh Kuching Austin Dimin, Menteri Muda Belia dan Sukan, Liwan Lagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan, Datu Ik Pahon Joyik.

Advertisement