Anda di sini

Aidilfitri tahun ini melakar sejarah tersendiri KGBS

Advertisement

KUCHING: Aidilfitri tahun ini cukup bermakna dan melakar sejarah tersendiri buat Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) apabila pusat aktivitinya di Lot 3304, Desa Guru di sini menjadi milik tetap kesatuan itu.

Ia berikutan peruntukan untuk membeli rumah banglo dua tingkat bernilai RM60,000 itu telah diterima daripada Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan yang juga Penaung KGBS Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran kesatuan itu semalam.

Presidennya Ahmad Malie berkata, pihaknya amat gembira dengan pemberian peruntukan tersebut yang mana ia pasti membawa banyak manfaat kepada KGBS.

“Penyerahan rumah ini merupakan suatu peristiwa bersejarah kepada kita di KGBS yang telah kita idam-idamkan selama ini.

“Pada majlis yang sama sebelum ini, KGBS telah merayu dan memohon kepada Datuk Amar supaya dapat menjadikan rumah (yang disewa sebelum) itu menjadi milik tetap KGBS.

“Alhamdulillah, impian KGBS untuk memiliki rumah tersebut menjadi kenyataan dan untuk itu kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas sumbangan dan keprihatinannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang, Majlis Penyerahan Rumah serta Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri KGBS di sini, semalam.

Dalam pada itu, sebagai sebuah kesatuan yang mempunyai visi memperjuangkan nasib pendidik Bumiputera di negeri ini, Ahmad melahirkan harapan kepada kerajaan supaya isu perumahan kepada penjawat awam khasnya para guru dapat diberi perhatian.

“Dalam keadaan pada masa ini, kita sering menerima keluhan tentang isu perumahan khususnya bagi penjawat awam dan guru-guru yang menyatakan harga rumah terlalu mahal di pasaran khasnya di kawasan bandar Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri,” ujarnya.

Abang Johari yang menjawab isu rumah terbabit menjelaskan kementeriannya kini sedang berusaha menyelesaikan isu tersebut melalui pelbagai langkah serta formula bagi mengawal harga rumah daripada terlalu tinggi di negeri ini.

Selain itu, jelasnya, Kementerian Perumahan juga sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk melaksanakan kajian bagi mewujudkan dasar perumahan yang baharu bagi tujuan itu.

Advertisement