Anda di sini

Sarawak tuan rumah Kejohanan Wushu Kebangsaan Sept 2015

Advertisement

KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Wushu Kebangsaan yang dijangka diadakan pada September 2015 di Kuching.

Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) James Ting berkata Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) telah bersetuju melantik Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan tersebut semasa mesyuarat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia merupakan kali pertama Sarawak menganjurkan kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan WFS perlu bersiap sedia bermula dari sekarang, tegasnya.

“Presiden WFS Datuk Seri Tiong King Sing akan bertindak sebagai pengerusi penganjur dan kita juga telah mengenal pasti venue bagi kejohanan itu nanti.

“Ia akan menjadi kejohanan wushu kebangsaan kedua dianjurkan di sini selepas Kejohanan Remaja Kebangsaan yang dianjurkan pada 2005,” menurut Ting yang juga Ketua Jurulatih dan Pengerusi Pembangunan WFS.

Katanya, kejohanan itu juga akan menjadi platform pemilihan atlet bagi SUKMA 2016.

“Kita juga mahu pegawai menyesuaikan diri dengan sistem pemarkahan elektronik dan peralatan berkaitan memandangkan SUKMA 2016 akan menggunakan sistem pemarkahan yang sama dengan kejohanan kebangsaan itu nanti,” tambahnya.

Katanya, WFS juga akan menggunakan khidmat beberapa pengadil dan pegawai dari Semenanjung Malaysia untuk membantu dalam aspek teknikal.

Ini sekali gus dapat memberi peluang kepada pegawai tempatan meningkatkan lagi pengetahuan mereka, jelas Ting lagi.

“Kita berharap semua negeri akan menghantar peserta terbaik pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa WFS diketuai Ting, jurulatih dan atlet dan ibu bapa atlet telah mengadakan kunjungan sempena Hari Raya Aidilfitri ke atas beberapa menteri, timbalan menteri dan kakitangan kerajaan negeri.

Advertisement