Anda di sini

Pemakaian pendakap gigi kanak-kanak seawal usia 12 tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Walaupun masalah kesihatan pergigian kanak-kanak dewasa kini semakin baik hasil pelbagai program berterusan Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, namun maloklusi pergigian seperti gigi berlapis dan jongang dalam kalangan kanak-kanak perlu diberi perhatian sewajarnya.

Pakar Perunding Ortodontik, Jabatan Ortodontik, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Rohaya Megat Abdul Wahab berkata kanak-kanak yang menghadapi masalah maloklusi ini boleh mendapatkan rawatan seperti pemakaian pendakap gigi seawal usia 12 tahun.

“Bagi mendapatkan rawatan ini, kanak-kanak berusia melebihi 12 tahun dilihat sesuai memandangkan gigi susu telah tanggal dan telah berada dalam gigi kekal.

“Kanak-kanak ini perlu hadir ke hospital atau klinik ortodontik berkaitan bagi mendapatkan nasihat yang betul sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” katanya kepada Bernama.

Katanya, bagi kanak-kanak yang mempunyai gigi yang jongang, kaedah rawatan menggunakan aplians fungsi mungkin dapat dilakukan kerana rawatan itu sesuai bagi kanak-kanak yang sedang dalam proses tumbesaran.

Kebanyakan kanak-kanak atau remaja yang mempunyai gigi yang berlapis pula lebih sesuai dirawat menggunakan aplians tetap.

Dr Rohaya berkata, pemakaian pendakap gigi ini dilihat sebagai satu cara untuk membantu mengembalikan keyakinan diri kanak-kanak selain membolehkan mereka dapat mengunyah makanan dengan betul dan bertutur dengan jelas tanpa masalah.

“Bermula daripada usia awal mereka ini juga, kita boleh menerangkan kepada mereka kebaikan atau fungsi pendakap gigi ini supaya tidak menjadi bahan ejekan dari kawan-kawan di sekolah seperti ‘gigi besi’,” katanya.

Katanya, pendakap gigi diperbuat daripada keluli tahan karat atau seramik dan pendakap gigi ini adalah selamat digunakan. Wayar arkus yang digunakan pula diikatkan pada pendakap dengan menggunakan modul elastik (getah) pelbagai warna dan corak yang menarik seperti hijau, kuning, dan merah jambu.

Menyentuh penjagaan pendakap gigi oleh kanak-kanak ini, beliau berkata aplians ortodontik ini tidak terlalu sukar dijaga sekiranya si pemakai memastikan kebersihan gigi yang baik dan tidak memakan makanan yang keras atau terlalu liat atau melekit kerana boleh menyebabkan pendakap tertanggal daripada permukaan gigi.

“Doktor selalunya akan menasihatkan agar memakan makanan yang sedikit lembut selepas pemakaian aplians pada minggu pertama bagi mengelak kesakitan atau ketidakselesaan semasa makan.

“Selain itu, doktor akan membekalkan lilin ortodontik selepas pemakaian aplians, lilin diletakkan pada pendakap yang boleh bergesel dengan tisu mulut bagi mengelakkan terjadinya ulser,” katanya.

Sinonim dengan kemudahan yang ditawarkan adalah yang terbaik, maka kos pembayaran rawatan itu adalah tinggi.

Menurut Dr Rohaya, kos tersebut bergantung kepada keseriusan masalah pergigian pesakit dan tempoh jangkaan rawatan.

Selain itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka berjumpa doktor gigi seawal usia yang boleh bagi membiasakan mereka dengan persekitaran klinik di samping doktor atau jururawat pergigian dapat mengajar cara-cara penjagaan kesihatan mulut yang baik. — Bernama

Advertisement