Anda di sini

MH17: Faktor barangan peribadi percepat pengecaman mangsa

Advertisement

Pengecaman memakan masa jika elemen berkenaan disentuh, tercemar

KUALA LUMPUR: Faktor barangan peribadi seperti cincin, gigi dan pakaian antara elemen penting dalam membantu melicinkan dan mempercepatkan proses pengecaman mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airline (MAS) Penerbangan MH17.

Amidon Midon Anan, pakar forensik tempatan yang pernah berkhidmat hampir 25 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, jika elemen tersebut disentuh atau tercemar, proses pengecaman boleh memakan masa lama mencecah tiga minggu atau lebih.“Dalam kes MH17 ini, pendapat peribadi saya, proses pengecaman akan ambil masa lama khasnya jika jasad tidak terjejas hasil daripada letupan kapal terbang itu.

“Yang akan membantu penyiasat adalah mencari pakaian asal mayat walaupun telah berubah warna, barangan atau identiti milik peribadi hilang atau berubah seperti jenis jam, tatu, gigi emas, cincin kahwin dan sebagainya.

“Ini sekali gus antara cabaran besar penyiasat dan forensik untuk mengecam dan mengenal pasti identiti jasad dan mayat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal – dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Amidon, yang kini merupakan pensyarah pelawat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata sebaik sahaja selesai proses pengecaman mangsa bencana itu, penyiasat akan ke fasa pengisian DNA untuk tujuan pengesahan.

“Di sini, sampel darah keluarga terdekat akan diambil untuk dipadankan dengan mangsa. Kebiasaannya, proses ini cuma tidak sampai tujuh hari. Namun dalam kes MH17, ini, ia ambil masa kerana terdapat banyak mayat dan keadaan mayat itu sendiri.

“Untuk kenal pasti mayat warganegara kita sendiri ambil masa kerana kebanyakan mayat adalah warganegara Belanda,” jelasnya.

Beliau yang pernah mengendalikan pelbagai kes besar termasuk kes runtuhan kondominium Highland Tower pada 1993 berkata mayat tertimbus di dalam tragedi itu masih tidak terjejas dan proses pengecaman tidak mengambil masa lama berbanding tragedi MH17.

“Dalam kes Highland Tower, tiada yang meletup berbanding tragedi MH17 yang perlu mengumpul kesemua anggota badan untuk tujuan identifikasi dan pengecaman.

Amidon menarik perhatian tragedi MH17 ini juga bakal menjadi kayu pengukur dan membuka dimensi baharu dalam pengurusan krisis dunia penerbangan dan forensik penyiasat tempatan ke peringkat lebih tinggi sekali gus mencabar kebolehan mereka.

Dilaporkan kelmarin, Pasukan Siasatan Antarabangsa telah mengenal pasti beberapa mayat daripada 43 rakyat Malaysia dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, dan pengesahan pengenalan lanjut diperlukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Media melaporkan sebelum ini, proses tersebut terpaksa mengambil masa agak lama disebabkan bukti siasatan jenayah turut dikumpulkan daripada mayat dan jasad mangsa nahas di samping proses pengecaman itu sendiri.

Bukti siasatan jenayah itu penting berikutan terdapat dakwaan pesawat tersebut ditembak jatuh. — Bernama

Advertisement