Anda di sini

Mesyuarat khas persiapan terima jenazah mangsa MH17 akan diadakan

Advertisement

BATU PAHAT: Satu mesyuarat khas bagi menyelaras persiapan menerima ketibaan jenazah mangsa nahas pesawat Malaysian Airlines (MAS) Penerbangan MH17 bakal diadakan dalam seminggu dua lagi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata mesyuarat itu akan dihadiri semua wakil kementerian terlibat bagi melancarkan proses penerimaan jenazah-jenazah tragedi MH17 itu.

Ia bakal melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk kementeriannya, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, polis dan tentera, kata beliau.

“Seminggu lagi, pihak kementerian (akan adakan mesyuarat) mengenai persiapan.

“Kerajaan akan membuat persiapan untuk menyambut jenazah-jenazah tersebut dengan penghormatan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Seri Gading di Kampung Parit Jelutong, Parit Raja, dekat sini semalam.

Abdul Aziz berkata beliau dimaklumkan jenazah-jenazah ini akan dibawa pulang secara serentak dan dihantar ke kampung masing-masing untuk disemadikan.

Beliau berkata kos penghantaran pulang (sehingga ke kampung halaman) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kita akan menyambut (jenazah-jenazah) ini secara terhormat. Kita mahu melahirkan kesedihan kita atas tragedi tersebut kerana ini tragedi pertama di mana pesawat kebangsaan kita ditembak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Aziz.

Sementara itu, kerajaan dilaporkan akan mengumumkan tarikh penghantaran pulang jenazah dalam tempoh dua minggu.

Ini adalah antara keputusan yang dicapai semasa lawatan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak ke Netherlands baru-baru ini. — Bernama

Advertisement