Anda di sini

Boling padang: Perak sudah memadai

Advertisement

GLASGOW: Walaupun mereka tidak memenangi sebarang pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow, skuad boling padang negara mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding empat tahun lalu di Sukan New Delhi.

Pada edisi kali ini, skuad negara nyaris memenangi pingat emas apabila ‘fours’ wanita dan ‘pairs’ lelaki mara ke peringkat akhir.

Bagaimanapun mereka menentang peserta lawan yang lebih berpengalaman dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

“Pencapaian kami di sini adalah sesuatu yang kita dapat banggakan walaupun kita tidak memenangi pingat emas. Ia adalah lebih bagus berbanding satu perak dan satu gangsa yang kita menangi di New Delhi,” kata pengurus pasukan Syed Abidin Syed Zain.

Malaysia tidak pernah gagal memenangi pingat sejak mengambil bahagian dalam sukan boling padang pada 1998 ketika Malaysia menganjurkan temasya Sukan Komanwel.

Pada edisi 2002 di Manchester, Malaysia memenangi satu pingat emas dan satu pingat gangsa diikuti dua pingat emas di Sukan Melbourne pada 2006 yang disumbangkan oleh Siti Zalina Ahmad dan gandingan tiga wanita iaitu Norhashimah Ismail, Azlina Arshad dan Nur Iryani Azmi. — Bernama

Advertisement