Anda di sini

38.98 saat

Advertisement

Jamaica ke saingan akhir 4x100m, Bolt nafi anggap Komanwel ‘tahi’

GLASGOW: Usain Bolt memulakan pembabitannya di Sukan Komanwel dengan bergaya Jumaat lepas apabila beliau membimbing Jamaica untuk mara ke perlumbaan akhir acara 4×100 meter lari berganti-ganti pada hari apabila gimnas berbadan kecil Claudia Fragapane mempamerkan persembahan terbaik dalam tempoh 84 tahun bagi England di temasya Sukan Komanwel.

Bolt, juara Olimpik dan pemegang rekod dunia, menjadi pelari keempat dalam saringan dan kuartet pulau Caribbean berkenaan menang dalam masa 38.98 saat untuk mara ke peringkat akhir yang dijadualkan pada Sabtu.

Penampilannya yang dinanti-nantikan dibuat hanya dua hari sahaja selepas beliau didakwa menggambarkan Sukan Komanwel sebagai ‘tahi’ (shit), yang beliau nafikan sekeras-kerasnya.

“Saya tidak pernah menggunakan perkataan itu. Saya amat suka bertanding dan saya datang ke sini kerana saya mahu bertanding,” kata superstar itu.

“Orang di sini baik dengan saya. Glasgow amat hebat, segalanya bagus setakat ini. Hanya cuaca sahaja, ia menjadi begitu sejuk. Saya gembira berada di sini dan saya menikmati apa yang sedang berlaku.”

Sebelah petang menjadi miliki Fragapane yang berusia 16 tahun dan setinggi 4 kaki 6 inci (1.37 meter) apabila beliau mencipta sejarah dengan menambah pingat emas lantai kepada kemenangannya dalam acara-acara vault, individu keseluruhan dan berpasukan.

Wanita Inggeris terakhir yang memenangi empat pingat emas dalam satu temasya Sukan Komanwel adalah Joyce Cooper di Hamilton pada 1930.

“Ketika saya kanak-kanak, saya begitu lincah, melompat- lompat di mana-mana sahaja di dalam rumah saya. Ibu saya hanya mahu saya membuat sesuatu dan saya serta-merta amat menyukai gimnastik,” kata remaja itu.

Juga dalam aksi balapan dan padang, Moses Kipsiro dari Uganda mempertahankan kejuaraannya dalam acara 10,000 meter dengan penyudah yang mengujakan dalam masa 27 minit 56.11 saat di hadapan Josphat Bett dari Kenya dan Cameron Levins dari Kanada.

Jonathan Ndiku memecah rekod Sukan Komanwel untuk memenangi acara 3000 meter lari berhalangan lelaki apabila Kenya melengkapkan kejayaan 1-2-3.

Ndiku menang dalam masa 8 minit 10.44 saat di hadapan Jairus Birech dan juara berganda Olimpik Ezekiel Kemboi Cheboi. — AFP

Advertisement