EDINBURGH: Penerjun negara Ooi Tze Liang membuat kejutan apabila beliau memperolehi pingat emas yang tidak diduga di Sukan Komanwel Glasgow selepas beliau memenangi peringkat akhir acara 3 meter papan anjal lelaki di Royal Commonwealth Swimming Complex di sini semalam (Jumaat).
Penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu mengumpul 457.60 mata untuk menewaskan pemenang pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal Jack Laugher dari England dengan kelebihan 7.90 mata kerana penerjun England tersebut hanya dapat mengutip 449.70 mata manakala pingat gangsa dimenangi Oliver Dingley dengan 425.20 mata.
“Saya gembira dan berpuas hati dengan prestasi saya dan kejayaan memenangi pingat emas.“Saya mesti akui saya sangat tegang pada mulanya tetapi saya berupaya untuk terus memberikan fokus pada peringkat kemudian.
“Saya gembira kerana saya dapat membuktikan kepada semua orang bahawa segala usaha gigih saya telah menghasilkan pingat emas untuk negara di Sukan Komanwel,” katanya.Tze Liang berkata selepas beliau menamatkan pusingan awal pada sebelah pagi di tempat kedua, beliau yakin beliau akan memenangi pingat.
“Dari saat itu saya ada fikiran yang positif untuk berjaya pada pusingan terakhir,” kata Tze Liang yang diperkenalkan kepada sukan berkenaan oleh bapanya pada usia lapan tahun.
Tze Liang, yang memenangi pingat perak dalam acara terjun 3 meter papan anjal selaras di Sukan Asia di Guangzhou, China empat tahun lalu seterusnya akan bergandingan dengan Ahmad Amsyar Azman dalam acara terjun 3 meter papan anjal selaras lelaki yang bermula hari ini (Sabtu). — Bernama