Anda di sini

Kongres CPA 2014 akan dimulakan dengan perbincangan landskap media

Advertisement

KUALA LUMPUR: Certified Practising Accountants (CPA), Australia (bahagian Malaysia) yang menganjurkan Kongres CPA 2014 akan memulakankongres berkenaan dengan perbincangan mengenai landskap media yang pesat berkembang di Malaysia, bertempat The Gardens Hotel, di sini pada 9 Sept depan.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Pengurus Besar CPA Australia (Bahagian Malaysia) Priya Terumalay berkata landskap media telah mengalami perubahan yang besar menyebabkan ledakan terhadap saluran komunikasi dan pembentukan semula persekitaran perniagaan di Malaysia.

“Kami berpendapat bahawa sesi seperti ini akan mengetengahkan peluang dan trend dalam model perniagaan media serta meneroka pembentukan pengaruh generasi akan datang,” katanya.

Kongres yang akan dihadiri lebih 100,000 perwakilan dari 14 lokasi itu akan menampilkan penceramah terkenal, termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarah Urusan Media Group Star dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Untuk kongres tahun ini, Terumalay berkata CPA Australia menyasarkan untuk menawarkan program simulasi yang akan memberikan gambaran menyeluruh mengenai wawasan perniagaan dari setiap sudut.

“Kami memberi tumpuan kepada strategi, kepimpinan dan memberi bantuan kepada ahli sedia ada dan bakal ahli untuk menyedari potensi diri mereka. Itulah yang disasarkan dalam perbincangan itu kelak,” tambah beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Kongres dan Latihan CPA Australia Teresa Chong berkata para penceramah adalah pakar dalam bidang masing-masing dan akan dapat berkongsi trend yang berkembang pesat dalam industri media.

“Ia bagi memperdengarkan fakta dan pandangan beberapa pemimpin paling berpengaruh dalam industri di Malaysia yang akan dimanfaatkan bukan sahaja oleh para perwakilan, malah oleh masyarakat umum,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 1886, CPA Australia merupakan satu daripada badan perakaunan profesional terbesar di dunia yang diwakili lebih 150,000 ahli dari 121 negara, menggambarkan kepimpinan perniagaan yang strategik dan disanjung di serata dunia.

Untuk maklumat lanjut atau untuk mendaftar dengan Kongres CPA Australia 2014, boleh layari http://www.cpaaustralia.com.au/training-and-events/cpa-congress/kuala-lumpur. — Bernama

Advertisement