Anda di sini

Kes denggi di Selangor meningkat lebih 300%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes denggi di Selangor meningkat sehingga 338.05 peratus dengan 29,972 kes direkodkan bermula Januari hingga 27 Julai lepas berbanding 6,842 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes denggi itu antara lain disebabkan pembuangan sampah dan sisa pepejal tidak diselenggara dengan efektif.

“Antara masalahnya adalah sampah dan sisa pepejal tidak kerap dikutip secara berkala,” katanya kepada Bernama semalam.

Dr Noor Hisham berkata sehubungan itu aktiviti kawalan harus tertumpu di negeri berkenaan kerana sekiranya kes denggi di Selangor dapat dikawal maka keseluruhan kes denggi di negara ini juga mampu dikawal.

“Perangi denggi habis-habisan di Selangor. KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah kerahkan petugas-petugas dari negeri lain ke Selangor untuk membantu menjalankan aktiviti pembasmian,” katanya.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan semalam, Dr Noor Hisham berkata bilangan kes denggi di seluruh negara mencatatkan 54,976 kes sejak Januari hingga 27 Julai lepas berbanding 15,400 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Kelantan negeri kedua merekodkan kes denggi paling tinggi selepas Selangor iaitu 5,156 kes dengan lima kematian direkodkan sehingga 27 Julai lepas.

“Sebanyak 101 kematian direkodkan akibat kes denggi ini di seluruh negara berbanding 31 kematian bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya. — Bernama

Advertisement