Anda di sini

Harapan negara untuk pertahan kejuaraan luluh

Advertisement

GLASGOW: Harapan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki dalam sukan badminton buat kali ketujuh berturut-turut di Sukan Komanwel musnah apabila pemain badminton kebangsaan yang ditugaskan dengan misi tersebut tersingkir pada peringkat suku akhir di Emirates Arena di sini pada Jumaat lepas.

Pemain pilihan utama Chong Wei Feng dan Liew Daren masing-masing tewas kepada R V Gurusaidutt dan Kashyap Parupalli dari India pada peringkat lapan terakhir.

Wei Feng tewas kepada Gurusaidutt 15-21, 21-8 dan 17-21 manakala Liew tumpas 13-21 dan 14-21 kepada Kashyap.

Jelas kecewa dengan kekalahannya, Wei Feng mengakui beliau terpaksa memikul tanggungjawab bagi kegagalan untuk mempertahankan pingat emas yang sudah menjadi milik Malaysia sejak 1990.

“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia. Daren dan saya tahu tanggungjawab yang kami pikul kerana pingat emas sudah begitu lama menjadi milik kita. Saya tidak mahu memberi alasan tetapi kami melakukan yang terbaik, cuma pemain lawan kami mempamerkan persembahan yang boleh dipuji.

“Lebih mengecewakan lagi adalah hakikat bahawa saya tidak pernah tewas kepada Gurusaidutt tetapi hari ini beliau bermain dengan sangat bagus untuk mara ke peringkat separuh akhir,” katanya kepada pemberita.

Rashid Sidek memenangi pingat emas pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choo Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Datuk Lee Chong Wei (2006 dan 2010).— Bernama

Advertisement