Anda di sini

Tawaran yang lebih lumayan buat Keshi

Advertisement

ABUJA: Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF) mengesahkan Rabu lepas mereka sedang memuktamadkan kontrak baharu bagi jurulatih kebangsaan Stephen Keshi.

Selepas satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Abuja, NFF menyebut dalam satu kenyataan yang mereka telah luluskan bahawa pemangku presiden Mike Umeh telah mengumumkan mesyuarat tergempar untuk memastikan Keshi dilantik semula “dalam jangka waktu sesingkat mungkin”.

Keshi dipercayai akan menerima kontrak yang lebih baik bernilai 7 juta Naira (lebih RM220,000) sebulan, naik daripada lima juta Naira yang diterimanya sekarang.

Keshi mengambil alih pada 2011 dan kontrak pertamanya berakhir selepas kejohanan Piala Dunia.

Pengurus berusia 52 tahun itu membimbing Nigeria ke peringkat 16 terakhir di Brazil selepas membimbing pasukan Super Eagles untuk memenangi kejuaraan Piala Negara Afrika ketiga mereka di Afrika Selatan pada tahun lepas.

Tugasan segera Keshi adalah peringkat kelayakan Piala Negara Afrika 2015 yang bermula pada September.

Juara bertahan Nigeria berada dalam sebuah kumpulan kelayakan bersama Afrika Selatan, Sudan dan sama ada Congo atau Rwanda dengan dua pasukan teratas yang akan mara ke Piala Negara Afrika pada Januari tahun depan di Maghribi.

Sementara itu NFF berkata sebuah kongres luar biasa tidak diadakan semalam seperti yang dirancang kerana “sebab yang tidak dijangkakan: dan menjanjikan tarikh baharu.

Semasa mesyuarat jawatankuasa eksekutif berkenaan Musa Amadu disahkan sebagai setiausaha agung NFF manakala perubahan dibuat kepada jawatankuasa pemilihan dan rayuan.  — AFP

Advertisement