Anda di sini

Kuching rangkul juara bola keranjang B17

Advertisement

KUCHING: Pasukan remaja lelaki Kuching memenangi kejuaraan bawah 17 tahun yang pertama bagi mereka selepas menewaskan Bintulu 49-48 pada perlawanan akhir menarik Kejohanan Bola Keranjang Bawah 17 Tahun Antara Bahagian Sarawak di Stadium Persatuan Bola Keranjang Miri, kelmarin.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Miri menewaskan juara bertahan, Sibu 67-66.

Manakala kejuaraan remaja wanita dimenangi Sibu, manakala tempat kedua hingga kelima masing-masing dimenangi Kuching, Sarikei, Miri A dan Miri B.

Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Bahagian Kuching, Voon Soon Liong gembira dengan prestasi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita.

Beliau berkata, kunci kejayaan mereka adalah latihan selama sebulan dan ini adalah peningkatan baik berbanding keputusan pada tahun lalu.

“Pasukan kami memiliki persefahaman dan kerja berpasukan lebih baik dan mereka mencapai sasaran dengan menamatkan cabaran dalam kelompok dua teratas kejohanan,” katanya semalam.

Justeru, beliau yakin pasukan remaja wanita akan lebih mantap pada tahun depan untuk merebut kejuaraan kerana anggota skuad sekarang kebanyakannya berusia antara 15 dan 16 tahun manakala seorang dua pemain berusia 14 tahun.

Jurulatih skuad wanita, Lee Chee Beng juga gembira kerana pasukannya sudah mencapai matlamat mereka.

“Kami menduduki tempat ketiga pada tahun lalu dan tahun ini muncul naib juara. Pemain remaja wanita kita bermain baik dalam perlawanan liga menentang Sibu yang lebih kuat, pemain kita bermain dengan baik dalam tiga suku pertama tetapi tidak dapat meneruskan momentum dalam suku terakhir perlawanan,” katanya.

Sebelum pertandingan, jurulatih pasukan remaja lelaki Kuching yang juga bekas pemain kebangsaan, Chai Sze Kiong berkata keempat-empat pasukan iaitu Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri memiliki peluang sama untuk memenangi kejuaraan kerana standard mereka setara dengan satu sama lain.

“Jika kita melihat keputusan, Sibu kelihatan seperti pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan tetapi ia ternyata persaingan sengit pada peringkat akhir.

“Kami menewaskan Miri dengan 69-63 manakala Bintulu mengecewakan Sibu dengan 54-50 pada peringkat separuh akhir,” katanya.

Kuching memulakan kempen dengan kemenangan 85-53 ke atas Samarahan diikuti satu lagi kemenangan ke atas Sarikei 83-51.

Dalam perlawanan Kumpulan A terakhir mereka menentang Sibu, Kuching hanya menang dengan kelebihan dua mata sahaja (78-76) menduduki tempat teratas kedudukan dengan 6.5 mata dari tiga kemenangan.

Sementara itu, lima pemain remaja lelaki dan tujuh remaja wanita dari Kuching dipilih menyertai pemilihan skuad negeri yang akan bertanding pada kejohanan bola keranjang bawah 17 kebangsaan pada hujung tahun ini.

Pemain-pemain lelaki ialah Amos Abel Then, Khoo Yik Hock, Andrus Jong, Chin Guan Wen dan Tan Yen Ming. Manakala pemain wanita Yvonne Liong, Regina Kua, Iris Lok Woon, Khoo Yik Chi, Mildred Thien, Chung Siaw Yen dan Hannah Lau.

Advertisement