Anda di sini

James, Rutherford berkelas dunia

Advertisement

SENYUMAN EMAS: James membawa bendera kebangsaan Grenada ketika meraikan kejayaannya meraih pingat emas dalam acara 400 meter lelaki pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Rabu lepas. — Gambar Reuters

Dua juara Olimpik pamer persembahan cemerlang pada Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow Rabu lepas

GLASGOW: Dua juara Olimpik, Kirani James dan Greg Rutherford mempamerkan persembahan kelas dunia pada Sukan Komanwel Rabu lalu manakala Usain Bolt membidas dakwaan beliau membuat kenyataan yang kesat mengenai temasya sukan tersebut.

James memenangi acara 400 meter lelaki memberikan pingat emas Sukan Komanwel pertama kepada Grenada dan menjadi atlet pertama memenangi pingat emas dalam acara tersebut pada kedua-dua temasya Sukan Olimpik dan Komanwel.

“Saya gembira untuk negara saya dan semua orang bersekutu dengan kami,” kata James, 21, memenangi pingat emas di hadapan Wayde van Niekerk dari Afrika Selatan dan Lalonde Gordon dari Trinidad.

Rutherford, 27, dari England merangkul pingat emasnya dalam acara lompat jauh Olimpik pada 2012 dengan muncul juara pada Komanwel kali ini.

Lompatannya sejauh 8.20 meter sudah memadai menewaskan atlet Afrika Selatan, Zarck Visser dengan kelebihan lapan sentimeter manakala Rushwahl Samaai juga dari Afrika Selatan memenangi gangsa.

“Ia tidak pernah jalan yang mudah dan selepas tahun lalu, saya tidak pernah menyangka saya akan memenangi pingat,” kata Rutherford.

Dalam acara lain, Derek Drouin dari Kanada memenangi acara lompat tinggi lelaki untuk menambah kepada pingat gangsanya di Olimpik.

Kenya menyapu bersih acara 300 meter lari berhalangan wanita dengan Purity Cherotich Kirui mendahului Milcah Chemos Cheywa dan Joan Kipkemoi di garisan penamat.

Dalam acara heptatlon, Kanada mencatatkan kejayaan satu-dua menerusi Brianne Theisen-Eaton dan Jessica Zelinka.

Valerie Adams dari New Zealand sekali lagi mempamerkan bakatnya yang tidak dapat ditewaskan dalam acara lontar peluru dengan menambah mahkota juga Sukan Komanwel ketiga kepada dua pingat emas Olimpik dan empat pingat emas dunia apabila dengan mudah menewaskan atlet lain dengan usahanya yang kedua sejauh 19.88 meter.

Pemenang pingat perak dunia dari Australia, Kim Mickle mencipta rekod kejohanan dengan sejauh 65.96 meter memenangi acara lontar lembing wanita, satu dorongan yang amat baik selepas persekutuan negara itu sebelum itu menggantung ketua jurulatih, Eric Hollingsworth kerana membuat kenyataan yang memburukkan bintang lompat pagar pasukan kebangsaan, Sally Pearson.

Juara 800 meter Olimpik, David Rudisha turut tampil dan layak ke peringkat akhir dalam kemenangan tenang dari permulaan hingga akhir pada separuh akhir.

“Saya berlari di hadapan dan mengawal perlumbaan,” kata pelari Kenya itu yang mencipta rekod dunia ketika menang di London 2012.

Rabu lalu, atlet Jamaica Warren Weir pelari pilihan dalam acara 200 meter tanpa kelibat Bolt, rakan senegara dari Jamaica memenangi saringannya dengan mudah dengan masa selesa 20.71 saat.

Turut layak ke peringkat separuh akhir ialah Daniel Bailey dari Antigua dan atlet Afrika Selatan, Wayde van Niekerk.

Sementara itu, Bolt berang selepas akhbar The Times melaporkan beliau telah menggambarkan Sukan Komanwel di Glasgow ini sedikit teruk menjelang kemunculannya dalam acara lari berganti-ganti 4×100 meter.

Ditanya sama ada beliau seronok atau tidak di Glasgow, pemegang rekod dunia dan juara Olimpik dalam acara 100 meter dan 200 meter itu dilaporkan menjawab ‘sebenarnya tidak’ dan berkata Olimpik London 2012 lebih bagus.

Namun, Bolt dan pengurusnya kemudian menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut dan atlet itu sendiri menggunakan ‘Twitter’ untuk menafikan laporan tersebut.

“Saya menafikan perkara yang mengarut ini…wartawan tolong jangan reka pembohongan untuk menarik tumpuan,” kata Bolt.

Superstar pecut itu kemudian kelihatan memberi sokongan kepada pasukan bola jaring Jamaica dalam satu perlawanan kumpulan menentang New Zealand di mana beliau menyertai aksi ‘Mexican wave’ dan memberitahu pemberita temasya sukan itu ‘amat hebat’.

Dalam sukan terjun berlangsung di Edinburgh, pasangan pilihan dari Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion memenangi pingat emas dalam acara 10 meter platform selaras wanita.

England memenangi dua lagi pingat emas pada hari itu menerusi Jack Laugher dalam acara 1 meter papan anjal lelaki, manakala kejuaraan 3 meter papan anjal selaras wanita dimenangi Alicia Blagg dan Rebecca Gallantree.

Dalam gimnastik, Max Whitlock dari England memenangi final keseluruhan individu lelaki manakala rakan senegara, Claudia Fragapane mengetuai kejayaan satu-dua-tiga Inggeris dalam acara wanita.

Kanada dan Nigeria mendominasi sukan gusti gaya bebas.

David Trembley memenangi kejuaraan 61 kg lelaki dan Arjun Gill membawa pulang pingat emas dalam bahagian 97 kg manakala kemenangan dalam acara 69kg wanita diperolehi Dori Yeats. — AFP

Advertisement