Anda di sini

Australia adakan upacara keagamaan khas peringati mangsa bencana MH17

Advertisement

MELBOURNE: Satu upacara keagamaan peringkat kebangsaan akan diadakan di Melbourne pada 7 Ogos bagi memperingati mangsa bencana MH17, demikian diumumkan Perdana Menteri Australia Tony Abbott.

Upacara melibatkan pengikut pelbagai agama ini akan berlangsung di Gereja Besar St Patrick.

“Saya harap ramai yang akan menghadirinya untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa,” lapor Australian Associated Press (AAP) yang memetik Abbott sebagai memberitahu Fairfax Radio pada Khamis.

Hampir 300 orang, termasuk 37 warga dan penduduk tetap Australia, maut apabila sebuah pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Upacara itu diadakan di Melbourne memandangkan 16 mangsa, termasuk tiga rakyat Malaysia, berasal dari Victoria, kata Abbott.

Pada hari upacara itu diadakan, bendera di semua pejabat kerajaan Australia di negara ini dan di luar negara, akan dikibar separuh tiang. — Bernama

Advertisement