Anda di sini

Rakyat doakan misi Perdana Menteri ke Belanda tercapai

Advertisement

JELI: Perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya Mark Rutte di The Hague, berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine diharap memperoleh kejayaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata: “Seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga misi Datuk Seri Najib bersama Perdana Menteri Belanda dan pemimpin-pemimpin Ukraine akan diberkati Allah SWT”.

Katanya perbincangan itu termasuklah dalam urusan pengecaman mayat, membawa pulang jenazah dan mengheret pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat tersebut ke muka pengadilan.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tahlil dan silaturahim di kediamannya di sini semalam.

Lebih 5,000 orang menghadiri majlis tersebut yang dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil bagi mendoakan kesejahteraan mangsa nahas MH17 dan kelancaran urusan Perdana Menteri mencapai misinya ke Belanda.

Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli berkata Perdana Menteri menangani isu insiden itu dengan tenang dan telah berjaya mencapai keputusan yang baik.

“Datuk Seri Najib terkenal sebagai seorang pemimpin hebat yang berjaya menguruskan Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati dan disegani, nama Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang aman dan makmur dan yang penting Malaysia memberi pertimbangan yang rasional,” katanya.

Beliau berkata reputasi negara yang baik akan memudahkan urusan berkaitan insiden MH17.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu. — Bernama

Advertisement