Oleh Nick Flitcher //
Sibu menang semua empat kategori wanita
KUCHING: Juara bertahan, Sibu memenangi semua empat perlawanan dalam pertandingan kategori wanita Kejohanan Bola Keranjang Bawah 17 Tahun Antara Bahagian Sarawak edisi kedua di Miri pada Selasa lalu.
Dalam perlawanan akhir menentang Miri A, pasukan wanita Sibu menang dengan kutipan mata 62-48.
Sibu memulakan kempen cemerlang dalam liga melibatkan lima pasukan apabila menewaskan Miri B 84-34, diikuti Kuching 62-47 dan mengatasi Sarikei 56-33.
Kuching juga menunjukkan pencapaian yang meningkat apabila menduduki tempat kedua kejohanan pada tahun ini, selepas sekadar berada di kedudukan keempat dalam kejohanan di Bintulu tahun lalu.
Dalam perlawanan akhir menentang Sarikei pada Selasa lalu bagi menentukan tempat kedua dan ketiga, Kuching mencatatkan kemenangan dengan kutipan mata 61-55.
Keputusan tersebut sekali gus meletakkan Sarikei di tangga ketiga, manakala Miri A dan Miri B masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.
Perlawanan akhir antara pasukan lelaki pula menyaksikan pertembungan antara Kuching dan Bintulu selepas Kuching menang tipis ke atas Miri 69-63 dan Bintulu membenam juara bertahan, Sibu 54-50 dalam perlawanan separuh akhir.
Kejohanan anjuran Persatuan Bola Keranjang Sarawak bertujuan mensasarkan memilih pemain-pemain bagi mewakili Sarawak pada kejohanan bola keranjang Bawah 17 Tahun Peringkat Kebangsaan tahun ini.