Anda di sini

Muzium Burung Hantu sasar 20,000 pengunjung

Advertisement

GEORGE TOWN: Muzium Burung Hantu Malaysia yang pertama, khusus untuk memperkenalkan dunia unggas berkenaan yang mempesonakan dan hubungannya dengan manusia, dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung pada musim perayaan ini dan cuti sekolah akan datang.

Muzium itu, yang terletak di kawasan seluas 2,500 kaki persegi di lokasi tarikan utama pelancong iaitu Bukit Bendera, mempunyai lebih 2,500 koleksi unik barangan berkaitan burung hantu.

Pemiliknya, Adrian Soh yang juga Pengarah Footprint Tourism Penang Sdn Bhd, berkata idea mewujudkan muzium itu dicetuskan pada tahun 2010 oleh rakannya yang gemar mengumpul hampir semua barangan berkaitan burung hantu.

Beliau berkata banyak negara lain seperti Korea Selatan, Cyprus dan Afrika Selatan mempunyai muzium burung hantu dan sudah tiba masa Malaysia turut memilikinya untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Kekaguman kami terhadap burung hantu direkod dan digambarkan menerusi penghasilan begitu banyak karya artistik dalam bentuk ukiran, arca, lukisan dan tapestri sepanjang zaman di muzium ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata muzium itu dibuka kepada umum pada 7 Jun 2012.

Muzium itu menampilkan koleksi lebih 2,000 artifak seni dan kraf tangan unik dari lebih 20 negara.

Soh berkata burung hantu yang dipamer dihasilkan daripada pelbagai bahan seperti batu, logam, kaca, kayu, tanah liat, plastik, tanduk kerbau, kulit kerang, kekacang, porselin, fiber pokok, kristal, tembikar, kertas dan bahan kitar semula.

“Pengunjung juga boleh membeli cenderamata seperti aksesori fesyen, magnet peti sejuk dan hiasan rumah pada harga istimewa,” katanya.

Muzium itu dibuka mulai 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Bayaran masuk ialah RM10 untuk dewasa dan percuma bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun manakala warga emas serta pelajar diberi diskaun 50 peratus. — Bernama

Advertisement