Anda di sini

Menembak: Nur Suryani terlepas pingat gangsa

Advertisement

GLASGOW: Atlet menembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi terlepas pingat gangsa dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat acara 50m rifle tiga posisi wanita akhir yang berlangsung di Barry Buddon Shooting Centre di sini pada Selasa lalu (waktu Scotland).

Nur Suryani membidik 422.0 mata.

Pingat emas acara itu milik atlet Singapura Jasmine Ser dengan 449.0 mata sementara perak diraih atlet tuan rumah Jen McIntosh (446.6 mata) dan gangsa dimenangi atlet India Lajja Gauswami dengan 436.1 mata.

Bagi kategori lelaki, atlet negara Mohd Hadafi Jaafar menamatkan saingan di tangga kelima dengan 391.6 mata.

Pingat emas menjadi milik Daniel Rivers dari England dengan 452.9 manakala perak dan gangsa masing-masing diraih atlet India, Sanjeev Rajput (446.9 mata) dan Gagan Narang (436.8 mata).

Seorang lagi atlet menembak negara Hasli Izwan Amir Hasan gagal menyerlah dalam acara 25m rapid fire pistol lelaki apabila menduduki tangga kedua tercorot selepas sekadar membidik sembilan mata.

Pingat emas dimenangi atlet Australia David J Chapman dengan bidikan 23 mata sementara Harpeet Singh dari India membidik pingat perak dengan 21 mata manakala gangsa menjadi milik Kristian Callaghan dari England dengan 17 mata. — Bernama

Advertisement