Anda di sini

Malaysia miliki lebih 11,000 pengendali radio amatur

Advertisement

Bertujuan peribadi, namun turut berperanan membantu pihak berkuasa ketika kecemasan dan bencana

MELAKA: Malaysia ketika ini memiliki 11,626 pengendali radio amatur atau ham operator yang berupaya menghulurkan bantuan sekiranya berlaku sesuatu kecemasan atau bencana alam.

Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Selatan Roszeta Kassim berkata daripada jumlah itu, Semenanjung mempunyai 9,919 pengendali radio amatur termasuk 1,090 di Melaka dan Johor dengan 1,487 pengendali di Sabah dan 220 di Sarawak.

Radio amatur merupakan perkhidmatan radiokomunikasi bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan penyiasatan teknikal yang dijalankan oleh golongan amatur untuk tujuan peribadi sahaja tanpa ada kepentingan kewangan.

Menurut Roszeta, pengendali radio amatur pada dasarnya menjadikan alat komunikasi itu sebagai hobi bagi berhubung dengan rakan-rakan yang lain di seluruh negara, namun mereka turut memainkan peranan penting membantu pihak berkuasa ketika kecemasan dan bencana.

“Sebagai contoh, ketika banjir besar melanda Johor pada 2007, kumpulan radio amatur menghulurkan bantuan dari segi komunikasi berikutan sistem talian selular mengalami gangguan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Roszeta berkata warga Malaysia berumur 14 tahun ke atas layak menjadi pengendali radio amatur namun perlu lulus peperiksaan awam radio amatur yang dikawal selia SKMM dengan yuran RM50.

Setiap pengendali akan diberikan kod panggilan sebagai identiti unik mereka ketika di jalur frekuensi radio amatur meliputi kelas A antara 1.8 MHz hingga 250,000 MHz dan kelas B (28.0 MHz hingga 440.0 MHz), katanya.

Beliau berkata mereka dibenarkan berbual mengenai apa sahaja kecuali berkaitan politik, agama, unsur komersial serta ancaman dan elemen lucah.

“Pengendali radio amatur ini mengamalkan kawal selia kendiri…apabila ada pengendali yang menyentuh isu-isu berkenaan, mereka akan ditegur rakan-rakan lain dan sekiranya ia serius, mereka akan melaporkan kepada pihak SKMM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Antara persatuan radio amatur berdaftar di Malaysia ialah Persatuan Radio Amatur Melayu Malaysia (ASTRA), Malaysian Amateur Radio Society (MARTS), Jalur Selatan Radio Amatur (JASRA) serta Persatuan Radio Amatur dan Komunikasi Melaka (PERAKAM). — Bernama

Advertisement