Anda di sini

Lebih 2,000 isi rumah terima manfaat program ‘NCIA-ABM Masuk Kampung’

Advertisement

ALOR SETAR: Program ‘NCIA-ABM Masuk Kampung’ yang melibatkan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara yang dimulakan sejak 2012 memberi manfaat kepada lebih 2,000 isi rumah di empat negeri setakat ini.

NCIA dalam kenyataannya kepada Bernama di sini, berkata pada 2012, lebih 400 isi rumah mendapat manfaat meliputi Sik (Kedah), Bagan Serai dan Kamunting (Perak), Tasek Gelugor dan Sungai Acheh (Pulau Pinang).

Pada 2013 pula, 700 isi rumah mendapat manfaat daripada program ini meliputi Jerlun, Yan dan Sik (Kedah), Gerik dan Kamunting (Perak), Seberang Perai (Pulau Pinang) serta Padang Besar (Perlis).

“Pada 2014, dijangkakan lebih 1,000 isi rumah akan mendapat manfaat daripada program ini menjelang hujung tahun ini meliputi negeri-negeri seperti Kedah dan Perak,” kata NCIA dalam kenyataannya.

Menerusi program kemasyarakatan itu, NCIA dan ABM berganding bahu menjalankan kerja-kerja pembaikan rumah usang serta kemudahan awam di kawasan pedalaman terpilih di serata Koridor Utara.

Menurut kenyataan itu, program tersebut mengguna-kan tiga pendekatan dengan pendekatan pertama NCIA membekalkan bahan binaan manakala ABM membekalkan pelajar-pelajar mereka yang menjalankan latihan praktikal sebagai tenaga kerja.

“Kedua, NCIA membekalkan bahan binaan manakala ABM menganjurkan kursus ‘Personal Binaan’ kepada kontraktor-kontraktor tempatan dan tukang-tukang setempat dengan mereka yang mengambil bahagian akan diberi mata ‘Continuous Contractor Development’ (CCD) dan Sijil Kecekapan Kemahiran oleh CIDB.

“Ketiga, NCIA membekal-kan bahan binaan manakala kerja-kerja pembaikan dilakukan sendiri oleh pihak tuan rumah (yang berkemahiran) di bawah penyeliaan pihak ABM,” kata kenyataan itu.

NCIA dalam kenyataan itu berkata pemilihan rumah-rumah atau kemudahan awam yang layak dibaik pulih diusul oleh pemimpin-pemimpin setempat.

“Menerusi program itu, pelajar-pelajar ABM berpeluang untuk menjalankan latihan praktikal melalui program ini apabila mereka didedahkan kepada suasana pekerjaan sebenar.

“Ia juga bagi melatih pe-lajar-pelajar ABM mendalami konsep CSR  (tanggungjawab sosial korporat) iaitu  mereka didedahkan untuk lebih prihatin terhadap masyarakat luar bandar yang kurang bernasib baik,” kata kenyataan itu. — Bernama

Advertisement